Pernahkah anak- anak puan mengalami masalah tompok-tompok putih di muka seperti gambar di atas? Saya pasti ramai di antara kita yang pernah mengalaminya. Di kalangan masyarakat Melayu, kita sering memanggilnya “panau”.
Apa itu panau?
Dari segi perubatan, ianya dikenali sebagai “pityriasis alba”. Semasa saya kecil, nenek mengatakan , punca masalah ini ialah mandi ketika berpeluh. Tetapi punca sebenarnya masih belum diketahui. Dipercayai bahawa pityriasis alba ini merupakan satu bentuk alahan ( eczema) yang ringan.
Di mana panau sering tumbuh?
Pityriasis alba selalunya timbul di muka, leher, lengan dan dada. Pada peringkat awal, ianya boleh berwarna merah dan sedikit gatal. Tetapi kebiasaannya tidak disedari oleh kanak-kanak sehingga ianya bertukar menjadi putih dan tidak lagi gatal.
Kenapa panau terjadi?
Kekeringan kulit yang mengalami masalah ini menjadi lebih teruk apabila cuaca sejuk dan udara persekitaran agak kering. Ianya menjadi lebih ketara apabila terdedah pada matahari. Pityriasis alba sering ditemui di kalangan kanak- kanak 6-12 tahun dan remaja yang tinggal di negara beriklim panas.
Perkara yang boleh menyebabkan terjadinya pityriasis alba ialah cuaca panas, terdedah kepada matahari, asap dari rokok/ kenderaan dan bahan kimia yang mungkin terkena kulit. Kanak-kanak yang mengalami asthma , kulit kering, resdung dan tinggal di negara beriklim panas lebih mudah terkena pityriasis alba.
Bagaimana merawat panau?
Namun, puan- puan jangan risau. Pityriasis alba biasanya akan hilang sendiri, namun tempoh masa yang diambil mungkin agak panjang (bertahun-tahun). Ianya tidak berbahaya/ berjangkit. Paling penting sekali ialah kulit mestilah sentiasa lembap dengan kerap menyapukan pelembap bagi mengelakkan kegatalan dan menghalangnya merebak. Sapuan sunblock tidak akan menghalang kulit tersebut dari menjadi pucat, tetapi mengurangkan kulit sekeliling dari menjadi semakin gelap dan menampakkan tompok putih itu bertambah pucat.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.