10 Petua Melegakan Selesema Anak

Sabtu, 21 Februari 2015


Sekiranya anak-anak diserang selesema, tentunya ibubapa merupakan orang yang paling bimbang tentang anak mereka. Selalunya selesema adalah disebabkan jangkitan virus dan biasanya akan pulih sendiri dalam 5-7 hari tanpa memerlukan sebarang antibiotik. Boleh merujuk entri ini untuk mengetahui kesan sampingan antibiotik.

Secara amnya, ubat – ubatan untuk selesema yang boleh dimakan oleh orang dewasa tidak digalakkan diberikan kepada kanak- kanak terutamanya 2 tahun ke bawah kerana kebanyakannya mempunyai kesan mengantuk dan melemahkan sistem pernafasan. Apabila mereka tidak bernafas, anak- anak ini boleh mengalami kekurangan oksigen dan menemui ajal. Ubatan seperti chlorpheniramine ( piriton ) , polaramine, actifed dan phenergan merupakan beberapa contoh ubat yang mengantuk.

Oleh itu, bagaimanakah cara terbaik melegakan selesema anak-anak?

1. Tinggikan kepala semasa mereka baring/ tidur. Ini boleh melegakan pernafasan anak-anak. Ajar mereka supaya bernafas melalui satu lubang hidung apabila tidur mengiring.
2. Bagi bayi yang menyusu badan , satu kaedah yang efektif dan menenangkan ialah dengan berbaring dan meletakkan bayi menyusu di atas badan. Keadaan ini menjadikannya selesa, hingus akan turun ke bawah kerana graviti dan ibu juga akan dapat tidur dengan selesa. Banyakkan sesi menyusu badan bagi memberi tenaga, air dan antibodies yang si manja perlukan.

3. Jika tuan puan mempunyai air panas, tuan puan boleh membuka shower air panas dibilik mandi dan tutup pintunya agar bilik air menjadi berwap. Kemudian duduklah bersama anak puan selama 20 minit di dalam bilik air. Wap panas tersebut akan memudahkan pernafasan anak.

4. Untuk bayi berumur 6 bulan ke atas, dan kanak-kanak, galakkanlah mereka minum air masak suam. Air suam dapat melegakan tekak yang kering. Di samping melegakan demam jika ada, air yang banyak juga boleh mencairkan kahak dan hingus serta memudahkan kahak dikeluarkan.

5.Untuk bayi kecil, boleh gunakan penyedut yang ada dijual di farmasi untuk menyedut hingus dalam hidung. Cara menggunakan mudah saja. Picit bulb di hujung penyedut. Letakkan sedikit saja, hujung penyedut di dalam hidung bayi, lepaskan bulb perlahan dan lihat sama ada ia menyedut hingus keluar dari hidung. Bersihkan dan ulangi di lubang hidung sebelah lagi.

6. Penggunaan air garam sebagai ubat titis juga didapati berkesan bagi mengeringkan hingus dan membersihkannya hidung. Tuan puan boleh membeli “saline nose drop” di farmasi atau membuat sendiri dengan mencampurkan sedikit garam dengan air. (1/4 sudu kecil dalam 8 oz air masak, diganti setiap hari dan disimpan dalam bekas bertutup). Pastikan Ianya tidak terlalu pekat/ masin- rasanya seperti air mata sahaja. isikan dalam dropper dan titiskan sebanyak 2 titis ke dalam hidung bayi.

Terdapat persediaan komersil untuk ubat air garam ini seperti jenama Sterimar yang dibuat dari air laut. Namun begitu , pastikan Ianya berbentuk titisan dan bukan spray. Penggunaan spray boleh mengaktifkan refleks vagal dalam anak kecil dan pernah menyebabkan kematian. Oleh itu ibubapa mesti berhati-hati dengan penggunaan decongestant seperti “oxymetazoline spray/ drops ” pula haruslah dihadkan kepada 7 hari sahaja dan jangan berpanjangan. Dikhuatiri jika digunakan berterusan , Ianya akan menyebabkan pergantungan kepada ubat tersebut dalam satu keadaan yang disebut “rhinitis medicamentosa”.

7. Penggunaan vapor rub didapati dapat memberikan anak- anak tidur yang lebih nyenyak. Kandungan di dalam vapor rub tidak membantu mengurangkan hingus tetapi rasa berangin membantu anak bernafas lebih baik. Vapor rub yang mengandungi camphor/mentol tidak boleh digunakan untuk bayi berusia 2 tahun ke bawah kerana boleh menyebabkan sawan tarik. Namun terdapat vapor rub yang diperbuat dari aloe, minyak eucalyptus dan herba yang didapati selamat untuk bayi 3 bulan ke atas.

8. Kunyit hidup pula merupakan satu bahan yang digunakan berpuluh tahun dahulu oleh nenek moyang bagi melegakan selesema. Kunyit hidup boleh ditumbuk/ dicalit sedikit di lubang hidung bagi melegakan pernafasan. Namun begitu, kunyit boleh meninggalkan warna kuning yang tidak menarik di kawasan hidung anak.


9. Elakkan dari sebarang asap rokok/ asap masakan/ aerosol ubat nyamuk dan bahan lain yang boleh memburukkan selesema anak.

10. Untuk anak yang sudah pandai menghembus hingus, ajarkan mereka menghembus hingus menggunakan tisu. Pastikan mereka membasuh tangan menggunakan sabun bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.