Dispensing Separation- kesan kepada pengguna

Sabtu, 28 Februari 2015



Sekiranya tuan puan perhatikan , kebelakangan ini isu dispensing separation amat hangat diperkatakan. Debat terbuka di televisyen, suratkhabar, media masa dan media sosial mendapat sambutan dari segenap masyarakat.

Kaunter pemberian ubat

Apakah Dispensing Separation?

Dispensing Separation ialah situasi di mana selepas pesakit  berjumpa dengan doktor, doktor akan menulis preskripsi dan pesakit akan pergi pula ke farmasi. Pegawai farmasi pula akan memberikan ubat mengikut slip preskripsi doktor. 

Apakah bezanya dengan sistem pada masa kini?

Di hospital swasta, hospital kerajaan dan klinik kesihatan kerajaan, sistem ini telah lama menjadi amalan. Setelah pesakit diperiksa oleh doktor dan doktor memberikan nasihat serta preskripsi ubat di klinik pakar/ klinik ibu anak atau Jabatan Pesakit Luar, pesakit akan pergi ke Jabatan Farmasi dan menyerahkan slip preskripsi kepada pegawai farmasi. Pegawai farmasi akan memberikan ubat kepada pesakit mengikut apa yang ditulis oleh doktor di preskripsi tersebut, sambil memberikan nasihat yang bersesuaian.

Walau bagaimana pun, situasi di klinik swasta adalah berbeza. Memandangkan pada zaman dahulu, tidak banyak farmasi swasta yang wujud, doktor swasta menyimpan ubat dan memberikan sendiri ubat kepada pesakit. jika klinik tersebut mempunyai ramai pesakit, doktor akan meminta pembantu klinik memberikan ubat kepada pesakit.


Apakah isu yang menyebabkan Dispensing Separation perlu dijalankan?


Mengikut pandangan pegawai farmasi , ianya perlu dilaksanakan bagi:

  • mengurangkan medication error ; amalan yang berlaku pada masakini, di mana ubat diberikan oleh pembantu klinik dikhuatiri dapat mengakibatkan kesilapan pemberian ubat, kerana pembantu klinik mungkin tidak begitu arif dengan keadaan ubat tersebut, tindakbalas dengan makanan dan sebagainya
  • mengurangkan preskripsi ubat yang tidak perlu: pada masa ini, klinik swasta mengenakan konsultasi yang sangat rendah (RM5-RM15 sahaja, berbanding yang dibenarkan dalam Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 RM30-RM65 bagi klinik tanpa perkhidmatan farmaseutikal). Klinik ini mengambil sedikit keuntungan dari jualan ubat bagi menampung kos operasi klinik; sewa kedai, sewa utiliti, gaji pekerja dan lain-lain. Jika dispensing separation dilaksanakan, doktor akan memberikan ubat yang betul-betul perlu sahaja kerana caj yang dikenakan hanya caj konsultasi.
  • membolehkan pegawai farmasi menumpukan kemahiran mereka kepada mendispens ubat; pegawai farmasi belajar selama 4-5 tahun untuk menjadi pegawai farmasi. keadaan masakini menjadikan pegawai farmasi swasta terpaksa menjual barangan penjagaan kebersihan peribadi dan coklat, kerana kekurangan preskripsi yang diterima. terdapat 13,000 pegawai farmasi di seluruh Malaysia yang bersedia melaksanakan tugas ini.
  • amalan banyak negara di seluruh dunia; kebanyakan negara telah mengamalkan pengasingan ini seperti UK, USA, India , Eropah, Korea dan Jepun. Walau pun begitu, negara seperti USA sedang mencuba menggalakkan pendispensan oleh doktor yang didapati menjadikan lebih pesakit makan ubat dengan teratur dan seperti sepatutnya (compliance rate) dan menjimatkan perbelanjaan  

Mengikut pandangan doktor klinik swasta, ianya TIDAK PERLU dilaksanakan pada masa ini kerana;

  • Malaysia belum sedia: pada masa kini, bilangan farmasi yang terdapat di negara ini belum mencukupi, apatah lagi farmasi yang dibuka 24 jam. Sekiranya ubat didispens pada waktu malam atau pun pada hari perayaan (contohnya Hari Raya Cina yang lalu di mana kebanyakan farmasi ditutup atau pegawai farmasi bercuti) 
  • Jarak antara klinik dan farmasi; jarak antara farmasi dan klinik yang jauh. Pesakit terpaksa berjalan/menaiki kereta dalam keadaan yang sakit dan kemudian mencari tempat parking, membayar kos parking berdekatan dengan farmasi bagi mendapatkan bekalan ubat. Keadaan lebih teruk bagi rakyat yang tua/ orang kurang upaya/ kanak-kanak istimewa atau mereka yang terpaksa menggunakan kenderaan awam.
  • Penjagaan pesakit mungkin terjejas; Adalah dibimbangi pesakit-pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, asthma tidak lagi pergi ke klinik dan hanya mendapatkan bekalan ubat di farmasi bagi menjimatkan wang, masa dan tenaga. Kesan jangka panjang penyakit kronik seperti kebutaan, kegagalan buah pinggang, penyakit lemah jantung dan lain-lain tidak dapat dikesan dari awal. Walau pun terdapat Peraturan yang melarang pegawai farmasi mendispense ubat Kelas B tanpa preskripsi, tetapi penguatkuasaannya sangat longgar.
  • Fi konsultasi terpaksa dinaikkan; apabila para doktor tidak dapat mencari keuntungan melalui penjagaan ubat, kos konsultasi terpaksa dinaikkan , selaras dengan yang dibenarkan oleh undang-undang bagi membolehkan mereka menampung kos operasi harian. Pesakit terpaksa membayar kos konsultasi + kos ubat ( contoh RM30+RM40) berbanding dengan masa kini ( RM5 + RM15). Harga ubat klinik biasanya lebih rendah kerana diberikan diskaun oleh syarikat pembekal ubat. 

Pandangan saya 

Pada pandangan saya, ada bagus dan buruknya sistem ini. Walau bagaimanapun, saya berpandangan bahawa sewajarnya rakyat diberi pilihan. Sekiranya mereka yang ingin mendapatkan ubat dari satu tempat, boleh memilih untuk mendapatkan ubat dari klinik. Sekiranya mereka ingin mendapatkan ubat di farmasi , doktor boleh memberikan preskripsi dan mengenakan caj konsultasi sewajarnya. Saya fikir kerajaan boleh memberikan tempoh percubaan dan menjalankan kajian yang menyeluruh- dari segi kos yang diperlukan, keadaan kesihatan rakyat, kemudahan rakyat dan impaknya pada semua pihak - kemudian boleh kita buat keputusan sistem yang manakah yang sesuai dengan Malaysia. 

Boleh ikuti perdebatan antara seorang pegawai perubatan dengan Cik Lovy Beh berkaitan isu ini di sini.

Apa pandangan anda? Mohon kongsikan bersama di sini. 

Jemput membaca pandangan rakyat Malaysia yang lain di pautan di bawah:




Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.