Lama sungguh saya tak update blog ini. Dan dah hampir 3 tahun berlalu. Walau bagaimanapun, malam ni saya curi masa sikit. Kita bicara topik yang ringan-ringan saja malam ni.
Siapa yang dah tengok drama Korea - The King: Eternal Monarch? Drama ini disiarkan di Netflix dan saluran SBS TV di Korea, bermula pada 17 April - 12 Jun 2020. Drama ini telah ditunggu di Korea kerana merupakan drama pertama yang dibintangi oleh Lee Min Ho selepas khidmat wajib ketenteraannya.
Pada pandangan saya, drama ini ada kekuatan dan kelemahannya. Apakah kekuatan dan kelemahan itu?
(JIKA ANDA BELUM MENONTON DRAMA INI, BOLEH BERHENTI DI SINI DAN PERGI TONTON DAHULU. SPOILER ALERT!)
Kekuatan drama The King : Eternal Monarch
- Lakonan yang mantap
Drama ini dilakonkan oleh pelakon-pelakon yang mantap seperti Kim Go Eun. Pernahkan tuan puan menonton lakonan Kim Go Eun? Beliau terkenal dengan lakonan yang menusuk jiwa seperti dalam filem The Muse (2012) dan Coin Locker Girl (2015). Saya paling suka menonton lakonan beliau dalam Goblin: The Lonely and Great God (2016). Bila melihat beliau menangis di Canada selepas mendapat ingatannya kembali, terasa kita turut menghayati kesedihan dan kesengsaraan beliau.
Dalam filem The King, beliau merupakan seorang detektif dengan personaliti yang “keras”, sesuai sebagai anak yatim dan pengajar di sekolah taekwondo ayahnya. Pada awalnya beliau skeptikal terhadap cerita-cerita Lee Min Ho tetapi akhirnya percaya kepada jejaka kacak itu setelah mengunjungi Kerajaan Corea.
Lee Min Ho turut menunjukkan lakonan yang baik. Beliau merupakan raja yang mengambil berat terhadap rakyat dan ingin melakukan perkara yang betul. Lakonan beliau lebih baik daripada drama sebelum-sebelum ini, seperti Legend of The Blue Sea.
Namun, pastinya semua penonton akan tertarik dengan lakonan Woo Do-hwan. Kebanyakan pelakon mempunyai 2 watak dalam filem ini kerana wujud dalam 2 dunia berbeza, namun Woo Do-hwan berjaya menjiwai kedua-dua watak yang sangat berlainan dengan baik sekali.
- Cinematography yang menarik
Cinematography dalam drama ini sangat cantik sekali. Sudut yang dipilih sangat menarik dengan adunan warna yang menarik. Saya tidaklah begitu pandai dalam aspek cinematography, tetapi saya suka melihat pemandangan dalam drama ini.
- Lagu soundtrack yang menarik.
Pemilihan lagu OST untuk drama ini sangat bersesuaian dengan tema drama. Saya paling menggemari lagu “Maze” yang dinyanyikan oleh Yongzoo, namun lagu “Orbit” oleh Hwasa dan “Gravity” oleh Zico & Wendy pun sedap juga.
- Jalan cerita berbentuk puzzle
Penonton akan tertanya-tanya, siapakah yang menyelamatkan Lee Gon dalam episod pertama. Apakah perancangan Lee Rim? Terdapat juga perancangan Lee Gon dan Lee Rim yang tidak berjalan lancar, bagaimanakah pengakhirannya?
Banyak babak yang menimbulkan pelbagai emosi audiens. Saya suka babak peperangan antara Kerajaan Corea dan Jepun, serta babak pertemuan Lee Rim dengan Lee Gon di tengah bandar. Lee Rim merupakan seorang villain yang bijak dan sangat memahami fikiran lawannya.
Babak ketika Tae Eul pertama kali menjejak kaki di kerajaan Corea agak lucu. Begitu juga, episod terakhir drama ini penuh dengan adegan lucu dan romantis.
- Set dan kostum yang menarik
Set istana Lee Gon dibina dengan teliti dan tampak mewah. Begitu juga dengan set pejabat Perdana Menteri. Begitu juga dengan pakaian Lee Gon , bersesuaian dengan watak seorang Raja muda dan moden.
Kelemahan drama The King: Eternal Monarch
- Penjelasan yang tidak terperinci
Walaupun kebanyakan menyatakan konsep dua dunia dan time-travelling yang cuba diceritakan adalah konsep yang sukar, namun saya merasakan sekiranya ia diterangkan dengan baik, konsep tersebut dapat difahami oleh audiens. Contohnya filem Avengers: Endgame di mana time-travelling dijelaskan dengan terperinci menjadikan audiens faham.
- Garapan yang tidak kemas
Watak yang diperkenalkan terlalu banyak tanpa penceritaan dan perkaitan yang jelas antara watak tersebut, terutamanya orang yang dibawa oleh Lee Lim ke dunia lain. Kisah yang tidak diceritakan dengan teliti seperti kisah budak lelaki OKU yang menerima bola sebagai hadiah harijadi, kisah ketua Chief Park yang membantu kanak-kanak kecil dan lain-lain.
Begitu juga, perubahan perasaan Tae Eul yang terlalu drastik - antara seorang yang sangat sarcastic dan annoying kepada seorang yang terus berlari memeluk Lee Gon ketika Lee Gon kembali ke Korea untuk kali ketiga.
Terdapat juga babak-babak yang tidak dapat difahami oleh ramai audiens, contohnya mengapakah Koo Soo Ryeong membunuh kembarnya di dunia lain? Sekiranya Lee Gon terperangkap dalam dimensi ketiga selama 4 bulan, bagaimanakah beliau makan dan minum di dunia yang tiada graviti, air atau angin?
Kesimpulan
Akhir kata, sekiranya tuan puan meminati Lee Min Ho/ Kim Go Eun, ingin mencabar minda sedikit sambil mendengar lagu OST yang sedap, boleh tonton drama The King : Eternal Monarch. Dari 5 bintang, saya berikan drama ini 4 /5 bintang. (Bintang tertinggi saya adalah bagi drama Goblin : The Lonely and Great God sebanyak 4.5/5 bintang).
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.