Biji berair di keliling bibir |
Adakah anda pernah melihat atau mengalami biji-biji kecil berisi air di bibir atau kawasan keliling mulut anak anda? Keadaan ini dipanggil herpes simplex, atau dalam Bahasa Inggeris ianya dipanggil cold sores.
Apakah yang menyebabkan biji-biji berair ini?
Bagi kanak-kanak, kebiasaannya keadaan ini berpunca dari sejenis virus dinamakan herpes simplex (HSV-1). Terdapat satu lagi herpes simplex jenis ke-2 (HSV-2) yang biasa menjangkiti orang dewasa.
Apakah tanda-tanda herpes?
1. Rasa perit terbakar atau gatal di kawasan keliling mulut atau bibir
2. Bintil-bintil kecil berisi air mulai tumbuh di kawasan bibir / mulut /gusi
3. sakit tekak dan kelenjar bengkak
4. menghasilkan air liur lebih banyak daripada biasa
5. kekurangan air dalam badan
6. loya dan sakit kepala
Bagaimanakah virus herpes simplex ini boleh berjangkit?
Virus ini sangat mudah menjangkiti orang lain! Cara jangkitannya adalah sentuhan secara langsung- mungkin ada orang yang menyentuh / mencium pipi anak yang mempunyai virus ini. Apabila seseorang dijangkiti virus ini, kebiasaannya virus ini akan menjadi tidak aktif (“tidur”) dalam badan orang tersebut.
Walau bagaimanapun, apabila orang tersebut berada dalam sesuatu situasi seperti keletihan, kecederaan pada kawasan dijangkiti ataupun bagi wanita, datang haid, virus tadi boleh “dikejutkan” dari tidur dan menjadi aktif.
Bolehkah seseorang mengalami keadaan ini berkali-kali?
Terdapat mereka yang mengalami biji-biji berair ini 2-3 kali setahun, dan ada yang sekali sahaja sepanjang hayat mereka. Ada juga yang tidak pernah mendapat biji-biji berair ini langsung kerana ianya tidak pernah diaktifkan!
Apakah rawatan untuk biji-biji berair ini?
Keadaan ini akan baik sendiri tanpa rawatan dalam tempoh 7-10 hari. Walau bagaimanapun, krim sapu antiviral (seperti acyclovir). Krim ini sebaik-baiknya disapu apabila tanda-tanda awal biji-biji air ini muncul. Jika krim ini lewat disapu, ia mungkin tidak akan berkesan. Krim tersebut perlu disapu 5 kali sehari selama 4-5 hari.
Krim ini berfungsi untuk menyembuhkan biji-biji air tersebut. Ianya tidak menghilangkan virus HSV-1 atau menghalang biji-biji berair tersebut dari berulang.
Ubat antivirus makan pula hanya diperlukan dalam kes-kes yang teruk.
Sekiranya anak anda mengadu sakit, boleh diberikan paracetamol bagi mengurangkan sakit.
Galakkan anak minum air banyak dan makanan lembut sepanjang mereka mengalami biji-biji berair ini.
Elakkan makan berasid dan masin
Jika anak anda mengadu sakit ketika memberus gigi, gunakan mouthwash antiseptik
Basuh tangan dengan sabun dan air selepas menyapu krim pada biji berair tersebut
Jangan menyentuh biji-berair tersebut kecuali untuk menyapu ubat
Jangan berkongsi krim antivirus dengan orang lain.
Bolehkah keadaan ini menjadi bertambah buruk?
Sekiranya anak anda tidak dapat minum, badan mereka mungkin kekurangan air dan ini boleh menjadi berbahaya kepada mereka. Virus ini juga boleh merebak ke bahagian lain badan seperti ke kawasan jari.
Bolehkah keadaan ini dicegah?
Penyakit ini agak sukar dicegah kerana ia sangat mudah berjangkit. Ianya paling mudah berjangkit apabila biji berair telah pecah, tetapi masih boleh berjangkit kepada orang lain sehingga betul-betul sembuh. Hindari daripada mencium orang lain terutamanya bayi kecil atau pun orang yang mengalami sistem pertahanan badan yang rendah (seperti pesakit kanser yang sedang menerima rawatan kemoterapi).
Bilakah saya perlu membawa anak berjumpa doktor?
Bawalah anda berjumpa doktor jika:
1) pertama kali mengalami keadaan ini
2) anak tidak dapat makan/minum kerana sakit di bahagian mulut
3) anak menunjukkan tanda kekurangan air (dehidrasi) seperti sakit kepala, asyik merengek/menangis, keletihan, tidak kencing untuk tempoh 24 jam atau kencing kurang dari biasa dan tidak aktif.
4) anak mengalami gusi bengkak dan sakit
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.