Demam kanak-kanak: 10 mitos atau fakta?

Jumaat, 13 Mac 2015

Terdapat banyak kepercayaan yang kita dengar berkaitan demam, sama ada dari nenek dan jiran kita mahu pun disebarkan melalui internet.Di sini saya cuba senaraikan 10 perkara mitos dan fakta yang sahih berkaitan demam untuk panduan kita bersama.

Kanak-kanak yang demam sering merunsingkan ibu bapa

Mitos #1 ; Semua jenis demam adalah berbahaya kepada kanak-kanak 

Fakta #1 ; Demam merupakan satu tindakbalas pertahanan badan. Demam meninggikan suhu badan dan menjadikannya suhu badan tidak sesuai untuk bakteria/virus membiak. Oleh itu, sekiranya anak tersebut masih aktif dan makan serta minum seperti biasa, janganlah terlalu bimbang tentang demam tersebut.

Mitos #2; Demam panas pada suhu melebihi 40 darjah boleh menyebabkan kerosakan otak 

Fakta #2; Demam yang berpunca dari jangkitan bakteria atau virus tidak menyebabkan kerosakan otak. Hanya apabila suhu badan mencecah 42 darjah selsius sahaja, kerosakan otak boleh terjadi. Keadaan ini hanya terjadi dalam situasi seperti kanak-kanak yang terkurung dalam kereta tertutup dalam cuaca panas.

Mitos #3; Sekiranya dirawat, suhu badan boleh turun kepada suhu normal 

Fakta #3; Walau pun dengan rawatan, biasanya suhu badan hanya akan turun sebanyak 1.1-1.7 darjah selsius sahaja.  HARUS DIINGATKAN, JANGAN MEMBERIKAN ASPIRIN KEPADA KANAK-KANAK KERANA PEMBERIAN ASPIRIN BOLEH MENYEBABKAN REYE’S SYNDROME.


Mitos #4; Suhu termometer yang disukat adalah sangat penting, lebih tinggi suhunya, lebih bahaya. 


Fakta #4 ; Suhu yang diukur dengan termometer bukanlah petunjuk mutlak tentang keseriusan anak puan. Sebaliknya, keadaan beliau secara menyeluruh adalah lebih penting. Perhatikan aktivitinya, adakah beliau mahu bermain seperti biasa? Adakah beliau mahu makan dan minum seperti biasa? Berapa kerapkah beliau membuang air? Adakah beliau memberi tindak balas apabila bercakap? Klik sini untuk menilai tahap hidrasi anak-anak.

Mitos #5 ; Pakaikan baju yang tebal dan selimutkan anak supaya berpeluh dan cepat sembuh 

Fakta #5 ; Baju yang nipis adalah digalakkan kerana haba di dalam badan akan lebih mudah dibebaskan ke udara dan suhu akan turun lebih cepat. Gunakanlah baju dan cadar dari jenis kain kapas yang dapat menyerap peluh agar memberi keselesaan kepada anak-anak. Tinggalkan sekotak tisu di tepi katil untuk keperluan mereka. Selain itu, boleh gunakan langkah-langkah di sini untuk mempercepatkan kesembuhan anak-anak.

Mitos #6; Mandikan anak dengan air sejuk. Sekitanya menggunakan air panas, sel cepat pecah. Sekiranya menggunakan air sejuk, sel akan dibina lebih cepat. 


Fakta #6; Kajian menunjukkan bahawa memandikan anak dengan air sejuk merupakan kaedah yang paling kurang berkesan bagi menurunkan suhu badan. Malah ianya menimbulkan rasa tidak selesa pada anak dengan menyebabkan mereka menggigil.

Mitos #7; Berikan makanan lebih daripada biasa bagi mempercepatkan kesembuhan 


Fakta #7 ; Puan tidak perlu bimbang jika anak puan makan kurang dari biasa. Apabila mereka mengalami demam, selera akan berkurangan begitu juga deria rasa dan bau turut berkurang dari normal. Selagi mereka minum air yang mencukupi, mereka boleh bertahan selama 2-3 hari dengan kuantiti makanan yang sedikit. Apabila telah sembuh, selera mereka akan kembali dan pada masa itu, galakkanlah mereka makan apa sahaja yang mereka inginkan.

Mitos #8; Penggunaan Kool Fever yang kerap boleh menyebabkan cerebral palsy dan hendaklah diletakkan di belakang leher 

Fakta #8: Terdapat pembaca yang bertanya tentang penggunaan Kool Fever. Secara amnya, tiada kajian terperinci yang telah diterbitkan dalam jurnal terkemuka, yang mengesahkan keberkesanan Kool Fever dalam merawat demam. Walau bagaimanapun, tidak ada salahnya jika Kool Fever digunakan bagi menggantikan tuala basah seperti dalam proses tepid sponging. Kenyataan bahawa penggunaan Kool Fever yang kerap boleh menyebabkan cerebral palsy adalah tidak benar. Begitu juga kenyataan bahawa ianya tidak boleh diletakkan di dahi tetapi harus diletakkan di belakang leher adalah tidak tepat.

Mitos #9 ; Kanak-kanak yang demam tidak boleh makan nasi 

Fakta #9 ; Kepercayaan ini adalah tidak tepat kerana sekiranya mereka mempunyai selera, mereka boleh diberikan makanan seperti biasa. Cuma, sekiranya anak-anak puan tidak berselera, puan digalakkan memberikan mereka makanan yang mempunyai kandungan air yang tinggi dan mudah dimakan seperti sup ayam atau bubur.

Mitos #10 ; Tahap demam boleh diukur dengan menyentuh dahi 

Fakta #10 ; Untuk mengetahui suhu badan yang tepat, haruslah menggunakan termometer yang baik dan telah di’calibrate’. Termometer yang paling tepat ialah termometer rectal/ termometer telinga. Termometer yang menyukat suhu di dahi/ketiak tidak begitu tepat kerana suhu kulit boleh menjadi sejuk tetapi suhu dalam badan masih lagi tinggi. 

rujukan:

1.http://www.childrenshealthnetwork.org/CRS/CRS/pa_feverpho_hhg.htm
2.Axelrod P.Dis. 2000 Oct;31 Suppl 5:S224-9. 
3.http://www.askdrsears.com/topics/health-concerns/childhood-illnesses/fever


Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.