11 Perkara Perlu Tahu Tentang Demam Pelentong (Chicken Pox)

Rabu, 25 Februari 2015

Kebanyakan daripada kita pastinya pernah dijangkiti chicken pox atau dikenali sebagai demam pelentong atau cacar air di sesetengah tempat. Tahukah anda macam mana rupa jangkitan chicken pox?

gambar-chicken-pox
Chicken pox- peringkat awal

Ciri-ciri atau tanda-tanda chicken pox (demam pelentong)


1. Pelentong atau chicken pox kerap menjangkiti kanak-kanak berusia 2-8 tahun, tetapi ia boleh menjangkiti sesiapa tanpa mengira usia.

2. Berpunca daripada varicella zoster virus yang akan kekal diam di dalam badan selepas jangkitan pelentong (chicken pox) sembuh. Ia boleh aktif semula apabila kita letih atau sistem imun badan menjadi rendah dan menyebabkan penyakit kayap ( herpes zoster).

Bagaimana cara chicken pox merebak?


3. Virus chicken pox(varicella zozter) tersebar melalui udara dari pesakit yang sedang mengalami jangkitan pelentong apabila mereka batuk atau bersin, serta jika tersentuh cecair dari kulit pesakit pelentong. Ianya boleh berjangkit dari tempoh 3 hari sebelum ruam keluar sehingga pesakit mempunyai bintil-bintil berair ( dalam tempoh 5 hari dari hari pertama ruam tumbuh).

PERKARA PENTING!
Selepas kulit kering, ianya tidak lagi berjangkit. Kulit keras yang timbul selepas ianya kering (scab) tidak boleh menjangkitkan pelentong ( chicken pox). Kebanyakan orang menyangka bahawa perlu tunggu hingga parut dan keruping hilang- barulah chicken pox tidak berjangkit lagi. Sebenarnya pendapat itu tidak tepat ....

4. Kanak-kanak biasanya tidak mengalami sebarang demam. Walau bagaimanapun ada juga yang mengalami demam  dalam lingkungan 38.3 darjah celcius- 38.8 darjah celcius. Tanda-tanda lain seperti sakit kepala, sakit tekak dan sakit perut. Orang dewasa pula kerap mengalami demam, sakit badan, sakit kepala 2-3 hari sebelum bintil-bintil air tumbuh di badan.

5. Ruam yang timbul bermula daripada kepala/ muka dan badan dan kemudian merebak ke kaki dan tangan , mulut dan bahagian badan lain. Ruam chicken pox atau pelentong ini sangat gatal.

Kesan chicken pox (demam pelentong)


6. Kesan daripada pelentong ialah selalunya ia meninggalkan parut di badan. Kadangkala, jangkitan kuman staphylococcus/ streptococcus juga boleh terjadi terutama jika ianya digaru. Namun, komplikasi lain yang serius seperti jangkitan paru-paru, kurang darah pembeku( platelet), jangkitan pada selaput otak (encephalitis) jarang berlaku kecuali kepada orang- orang yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah ( contohnya pengidap HIV, orang yang mengambil steroid yang lama, pesakit kanser).

Rawatan chicken pox 


7. Rawatan yang paling penting adalah rawatan simptomatik

  1. Sekiranya anak anda demam atau mengalami sakit badan, bolehlah diberikan paracetamol/panadol bagi memberikan kelegaan dan mengurangkan sakit.
  2. ubatan anti-histamine yang dimakan bagi mengurangkan kegatalan. Selalunya anti-hitamine yang mengantuk digunakan bagi mengurangkan gatal serta menggalakkan pesakit berehat. Contoh ubat yang mengantuk ialah chlorpheniramine , polaramine dan lain-lain.
  3. boleh gunakan ubat anti-histamine losyen calamine untuk disapu
  4. banyakkan minum air bagi mengurangkan demam dan kekurangan air
  5. ubat acyclovir hanya diberikan untuk pesakit yang rendah sistem imunnya. Ubat ini tidak membunuh virus , hanya memberhentikannya daripada membiak.

8. Pesakit pelentong ( chicken pox) digalakkan tinggal di rumah supaya tidak menjangkiti orang lain. Virus yang melekat pada pakaian dan cadar pesakit akan mati dengan penggunaan klorin, sabun detergen serta sinaran matahari.

9. Walaupun pernah mendapat jangkitan pelentong, terdapat juga orang yang dijangkiti semula untuk kali kedua atau ketiga. 

Ibu mengandung dijangkiti pelentong

10. Sekiranya ibu mengandung ( tempoh kehamilan 28 minggu atau kurang) terkena jangkitan pelentong, terdapat sedikit risiko untuk bayi mendapat kecacatan yang dinamakan fetal varicella syndrome. Ibu mengandung juga lebih berisiko mendapat jangkitan paru-paru jika terkena pelentong ( chicken pox). Oleh itu, cepatlah berjumpa dengan doktor jika terkena pelentong semasa mengandung.

11. Vaksin pelentong diwajibkan untuk semua kanak- kanak di Amerika Syarikat. Namun ianya tidak diwajibkan di negara lain seperti Malaysia dan Britain. Pengambilan vaksin tidak menghalang jangkitan pelentong, dapat mengurangkan keterukan simptom dan tempoh dijangkiti chicken pox.

Rawatan tradisional untuk demam pelentong

Saya berusaha mencari kajian keberkesanan rawatan tradisional terhadap jangkitan chicken pox tetapi masih belum berjumpa. Pada pandangan saya, sekiranya ianya tidak merbahaya dan dapat membantu melegakan simptom, tidak ada masalah untuk menggunakan rawatan ini.

1. Minum air kelapa 


Pandangan kebanyakan orang ialah air kelapa akan mempercepatkan keluarnya semua bintil-bintil air. Ia disarankan untuk diminum secepat mungkin selepas keluar 1-2 biji bintil air. Saya fikir, bintil-bintil air tersebut akan tetap keluar, sama ada dengan minum air kelapa atau tidak, dan ia mengambil masa 1-5 hari untuk keluar sepenuhnya. Sekiranya jangkitan pertama pelentong agak ringan, kemungkinan dijangkiti untuk kali kedua dengan lebih teruk masih ada. Namun saya fikir, kerana komposisi air kelapa yang rendah kalori serta mempunyai kandungan garam seperti sodium dan potassium, ia sedikit sebanyak membantu kehilangan air dalam badan kerana demam/ melawan jangkitan virus tersebut. Rasanya juga lebih sedap daripada air biasa, oleh itu saya fikir mungkin kanak-kanak juga akan lebih gemar minum air kelapa dari air biasa. Membanyakkan minum air semasa badan tidak sihat adalah satu perkara yang baik dan harus digalakkan.

2. Tidak boleh makan kicap 


Kepercayaan masyarakat Cina dan sesetengah orang Melayu ialah tidak boleh makan kicap semasa mengalami pelentong ( chicken pox) Kerana takut parut menjadi hitam. Secara amnya, ruam demam pelentong ini akan menjadi parut jika ianya digaru dan warna parut pula bergantung kepada tahap kandungan melanin dalam badan manusia. Bagi mereka yang berkulit cerah , pastilah parut lebih gelap dari mereka yang berkulit sawo matang. Saya berpendapat adalah lebih baik mengambil langkah-langkah pencegahan seperti memotong kuku atau memakai mitten supaya tidak luka ketika menggaru dan mengurangkan risiko jangkitan bakteria.

3. Penggunaan daun semambu

neem-leaves

Masyarakat India mengenali daun ini dengan nama Neem, masyarakat Cina memanggilnya ying lian, dan masyarakat Melayu memanggilnya dengan nama daun semambu. Daun ini mempunyai banyak khasiat dan digunakan luas dalam perubatan India. Dalam merawat pelentong, ianya boleh digunakan bersama serbuk kunyit sebagai air mandian bagi mengurangkan gatal. Ada yang meletakkannya di katil dan ada juga yang merebus dan digunakan untuk minuman.

4. Tidak boleh mandi


Masyarakat Cina juga percaya seseorang yang demam tidak boleh mandi atau makan nasi. Bagi mereka yang mengalami pelentong, mereka tidak boleh makan daging selama sebulan bagi mengurangkan gatal. Saya tidak pasti keberkesanan langkah-langah ini, tapi semasa terkena pelentong, penting bagi menjaga kebersihan kulit agar tidak dijangkiti bakteria.

5. Jika makan antibiotik, pelentong lambat baik 


Selalunya pelentong(chicken pox) tidak memerlukan antibiotik kerana ianya adalah jangkitan virus. Antibiotik juga mempunyai kesan sampingan tersendiri seperti cirit-birit, muntah, loya dan lain-lain. Sekiranya pelentong yang dialami adalah demam pelentong biasa, tanpa jangkitan bakteria ( seperti bernanah, kulit menjadi bengkak dan merah dengan teruk) , antibiotik tidak diperlukan pun. Walau bagaimanapun, sekiranya bintil tersebut bernanah- bermaksud telah ada jangkitan kuman/virus- perlu ambil antibiotik supaya ianya tidak menjadi bertambah teruk.

Sekiranya tuan puan ada petua atau pengalaman dengan demam pelentong (chicken pox) , jemputlah kongsi bersama!

2 ulasan :

  1. Kalau orang dewasa kene pelentong, memang dasyat nengok parutnya. budak kecik kene macam tak teruk sangat.

    BalasPadam

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.