Petua elakkan rabun jauh

Rabu, 18 Februari 2015

aktiviti luar rumah dipercayai boleh mengurangkan risiko rabun jauh


"Pernah terfikir tak kenapa orang asli kurang yang mengalami rabun?"

Suami saya melontarkan persoalan tersebut semasa kami duduk di tepi taman, memerhatikan anak-anak bermain. Saya terdiam sekejap. Baru saya perasan, gambar orang asli dalam suratkhabar kebanyakannya tidak memakai cermin mata. Begitu juga pesakit orang asli yang biasa saya temui, tidak seorang pun memakai cermin mata.

" Entah.... Makanan kot... Banyak makan ulam agaknya..." Saya meneka.

" Bukanlah...sebab diorang banyak main di luar rumah... Sebab tu tak rabun..." Jawab suami saya dengan yakin.

" Takkanlah sebab main... Genetik la... Atau kurang tengok TV... Anak -anak orang kita banyak tengok tv..." Saya masih kurang percaya perkaitan main dengan rabun. Apa kaitannya?

Namun pendapat suami saya itu baru-baru ini telah dibuktikan oleh dua kajian di Taiwan dan Denmark, di mana mereka mendapati kanak- kanak yang lebih banyak bermain di luar rumah dan mendapat cahaya matahari , lebih kurang risiko mendapat penyakit rabun jauh.  Kejadian rabun jauh menunjukkan peningkatan yang ketara di seluruh dunia terutamanya di Asia.

Dalam kajian di Taiwan, mereka mengkaji 571 orang pelajar berusia 7-11 tahun. Seramai 50 peratus pelajar di 2 buah sekolah tersebut mengalami rabun jauh. Sebuah sekolah menutup lampu di dalam kelas semasa rehat dan mengarahkan pelajar di luar kelas selama 80 minit (6.7 jam setiap minggu) dan sebuah sekolah lagi diberi kebebasan , boleh keluar atau pun boleh tinggal di dalam kelas semasa waktu rehat.

Selepas setahun menjalankan aktiviti tersebut, mata kanak-kanak ini diperiksa semula. Kajian ini menunjukkan kes baru rabun jauh hanyalah 8% bagi sekolah yang mengarahkan pelajar bermain di luar berbanding sebuah sekolah lagi yang mencapai 17.65% kes baru rabun jauh. Kadar peningkatan power mata juga berkurangan dengan sekolah yang mengarahkan pelajarnya bermain di luar kelas. 

Kajian ini menunjukkan cahaya matahari semulajadi diperlukan bagi perkembangan mata yang baik. Mekanisme sebenar cahaya matahari bertindak belum lagi diketahui sepenuhnya. Dipercayai bahawa cahaya matahari meningkatkan kadar dopamine di dalam bola mata. Kadar dopamine yang tinggi mengelakkan mata dari memanjang, yang menjadi punca rabun jauh.

===



1. Pei Chang Wu , et al. Outdoor Activity during Class Recess Reduces Myopia Onset and Progression in School Children. Ophthalmology. Volume 120, Issue 5 , Pages 1080-1085, May 2013 (http://www.aaojournal.org/article/S0161-6420(12)01075-5/abstract)

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.