7 perkara perlu tahu berkaitan Vitamin C

Khamis, 5 Mac 2015


Vitamin C ialah sejenis vitamin yang penting untuk manusia. Kebanyakan haiwan boleh membuat sendiri vitamin C di dalam badan. Namun manusia tidak boleh menghasilkan vitamin C sendiri dan terpaksa memperolehinya daripada pemakanan.

1.Mengapa kita perlukan vitamin C?

Vitamin C diperlukan untuk proses pertumbuhan dan membaiki tisu-tisu dalam badan.

- penting dalam pertumbuhan tulang, gigi dan rawan
-penting dalam merawat luka dan membentuk tisu parut ( scar tissues)

- membina kulit, tendon, salur darah, ligamen otot dan tisu-tisu lain
- memainkan peranan penting dalam pembentukan kolagen

- merupakan antioksidan. Antioksidan ialah bahan yang menghalang kerosakan tisu badan akibat pembebasan radikal bebas. Radikal bebas ini dihasilkan oleh badan apabila kita terdedah kepada asap rokok, radiasi dan lain-lain. Radikal bebas dipercayai menjadi punca utama manusia mengalami penuaan dan mungkin menyumbang kepada sakit jantung, kanser,dan sakit sendi.

- membantu mengurangkan stres

- membantu penyerapan zat besi


2.Dari mana kita boleh dapatkan vitamin C?


Vitamin C banyak terdapat di dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Di dalam haiwan , ianya dihasilkan di hati dan banyak terdapat di dalam organ tersebut, tetapi tahukah anda, kandungan vitamin C dalam jambu batu jauh lebih tinggi daripada di dalam oren? Berikut disenaraikan beberapa buah-buahan dan kandungan vitamin C yang dipetik dari wikipedia:

Plum cacadu= 1000 – 5300 mg/100g

Acerola= 1677 mg/100g

Jambu batu= 228.3 mg/100g

Blackcurrant= 200 mg/100g

Buah kiwi= 90 mg/100g
Brokoli= 90 mg/100g

Laici= 70 mg/100g

Betik= 60 mg/100g

Strawberi= 60 mg/100g

Oren= 50 mg/100g

Lemon= 40 mg/100g

Oren mandarin, kobis, bayam= 30 mg/100g

Tomato, nanas= 13 mg/100g

Pisang, lobak merah= 9 mg/100g

Proses yang mengurangkan vitamin C di dalam sayur-sayuran:


1. Memasak- proses memasak mengurangkan sebanyak 60% kandungan vitamin C. Memasak dengan menggunakan ketuhar mocrowave dan mengukus mengurangkan kehilangan vitamin C

2. Menggunakan periuk tembaga

3. Membasuh dengan air- brokoli didapati dapat mengekalkan kandungan vitaminC lebih baik daripada sayuran lain

3.Bagaimana dengan penyerapan vitamin C?

Vitamin C merupakan vitamin yang larut air. Oleh itu, lebihan vitamin C tidak akan disimpan di dalam badan, tetapi akan diproses dan dikumuhkan di dalam air kencing.
Pengambilan vitamin C yang tetap dapat meningkatkan kadar serapan vitamin C kepada 75-90%. Namun begitu, kadar serapan berkurang dengan peningkatan dos yang dimakan, contohnya
 500 mg – kadar serapan dalam badan adalah 67%
. Jika ianya diambil lebih dari 1.25 g, kadar serapan dalam badan adalah 33% sahaja.
Badan manusia yang dicipta oleh Yang Esa mempunyai kemampuan untuk menilai jumlah vitamin C yang ada di dalam badan. Apabila kepekatannya dalam darah telah melebihi 1.5 g/dL ( lelaki) atau 1.3 g/dL ( wanita) , lebihan vitamin C ini akan dikumuhkan. Namun badan manusia juga mempunyai kapasiti mengekalkan simpanan vitamin C dalam badan sehingga 83 hari lamanya sebelum tanda penyakit “scurvy” mulai timbul.

4.Berapakah kadar vitamin C yang diperlukan oleh manusia?



Dewasa:

WHO mencadangkan pengambilan sebanyak 40mg sehari atau 300 mg seminggu. Walau bagaimanapun, North American Dietary Reference Intake dan Health Canada 2007 mencadangkan pengambilan sebanyak 90 mg sehari bagi lelaki dan 75 mg sehari bagi perempuan. Oleh kerana vitamin C turut disalurkan kepada bayi melalui susu ibu, ibu mengandung dan menyusukan anak memerlukan lebih vitamin C dalam pemakanan mereka.
Bagi mereka yang merokok atau tinggal dengan perokok, pengambilan vitamin c harus ditambah sebanyak 35 mg lagi.

Bayi:


0 – 6 bulan: 40 mg/ sehar
i
7 – 12 bulan:50 mg/day

Kanak-kanak:


1 – 3 tahun: 15 mg/day

4 – 8 tahun: 25 mg/day

9 – 13 tahun: 45 mg/day

Remaja:


perempuan 14 – 18 tahun: 65 mg/day

Lelaki 14 – 18 tahun: 75 mg/day

5. Apakah tanda-tanda kekurangan vitamin C?

Mereka yang kekurangan vitamin C boleh mengalami:

-Anemia ( kekurangan darah merah)

-Gusi berdarah dan bengkak

-Luka lambat sembuh

-rambut kering dan terbelah

- mudah lebam/ berdarah

- hidung berdarah

- kulit kering, bersisik

- sendi bengkak dan sakit
- gigi lemah
Namun begitu, ujian darah bagi menentukan kadar vitamin C di dalam darah sangat jarang dilakukan.

6. Berapakah kadar vitamin C yang dikira terlebih dos?


Bagi vitamin C yang diambil secara dimakan pada dos melebihi 2000 mg didapati boleh menyebabkan sakit perut, muntah, loya, sakit kepala, keletihan, kemerahan pada muka dan cirit-birit. Terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan melebihi 1000 mg sehari meningkatkan risiko mendapat batu karang pada buah pinggang, akan tetapi kajian ini adalah tidak konsisten.(1)
Kajian tentang kesan pengambilan vitamin C secara suntikan ke dalam darah untuk pesakit kanser menunjukkan peningkatan kualiti kehidupan.(2) Ia juga didapati berkesan mengurangkan keletihan dan stress dalam sebuah kajian di Korea (3). Namun begitu , kajian mengenai keberkesanan dan keselamatan suntikan vitamin C ke dalam darah belum lagi ditemui.

7. Apakah cara pengambilan vitamin C yang terbaik? 

Cara terbaik memperolehi bekalan vitamin C ialah daripada memakan buah-buahan dan sayur-sayuran mentah. Namun jika tuan puan ingin mengambil supplemen, dinasihatkan agar jangan melebihi kadar yang disarankan ( 2000 mg) sehari, dan supplemen disimpan dalam bekas kedap udara dan berbotol gelap agar tidak termusnah oleh cahaya dan haba. Pengambilan secara suntikan ke dalam salur darah tidak digalakkan kerana risiko -risiko seperti yang diterangkan dalam entri ini. 
----------------
Rujukan:

1. Linda K. Massey et al. Ascorbate Increases Human Oxaluria and Kidney Stone Risk.J. Nutr. July 1, 2005 vol. 135 no. 7 1673-1677

2.Vollbracht C et al.Intravenous vitamin C administration improves quality of life in breast cancer patients during chemo-/radiotherapy and aftercare: results of a retrospective, multicentre, epidemiological cohort study in Germany.In Vivo. 2011 Nov-Dec;25(6):983-90.

3. Suh SY et al.Intravenous vitamin C administration reduces fatigue in office workers: a double-blind randomized controlled trial.Nutr J. 2012 Jan 20;11:7. doi: 10.1186/1475-2891-11-7.




Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.