7 cara mudah tenangkan bayi menangis tak henti-henti

Selasa, 24 Mac 2015


Assalamualaikum dan salam sejahtera, saya pasti siapa yang pernah ada anak pasti pernah merasa macam stressnya nak tenangkan bayi yang menangis tak henti-henti. Lebih kecil, lebih stress -sebab kita tak tahu kenapa la budak kecik ni nak meragam. Nak susu- dah bagi. Buang air- dah tukar lampin.

contoh sling yang boleh digunakan

8 cara mudah untuk tenangkan bayi

Kalau anda dah periksa semua- bayi tak haus/lapar, lampin dah ditukar, dan tak nampak macam sakit, mungkin boleh cuba perkara-perkara ini;

1. Dukung dan goyangkan badan anda

Apa-apa pergerakan beritma akan menenangkan anak anda. Anda boleh menggoyangkan badan perlahan-lahan seperti menari, atau menaiki buaian bersamanya atau duduk di kerusi dengannya. Bayi anda akan teringat saat-saat dia berada di dalam rahim anda dulu - nyaman, hangat dan selesa. Dan beliau akan lebih mudah tidur.

2. Gunakan sling

Pada masa ini, macam -macam kaedah untuk mendukung anak telah dicipta - sling/ mei tai/ wrap dan lain-lain. Letakkan anak di dalam sling tersebut dan buat kerja rumah seperti biasa. Kadang kala beliau hanya mahu bersama anda sentiasa.

3. Bawa anak anda menaiki kereta

Ramai bayi yang didapati tidur dengan mudah di dalam kereta. Mungkin kerana sejuk aircond, atau bunyi enjin yang menenangkan atau vibration kereta yang menjadikan mereka mudah tidur.

4. Bunyi peralatan rumah yang biasa

Bayi didapati gemarkan white noise - seperti bunyi mesin basuh , bunyi kipas angin atau vaccum cleaner. Ianya seakan-akan bunyi yang mereka dengar semasa berada di dalam rahim. Boleh dipraktikkan sekiranya anak anda meminati bunyi sebegini.

5. Nyanyi kepada anak anda

Walau pun anda mungkin merasa suara anda tidak semerdu Siti Nurhaliza, namun bagi bayi anda ianya mungkin perkara yang mengingatkan beliau semasa beliau di dalam rahim. Bayi didapati boleh mendengar suara ibu mereka semenjak di dalam rahim lagi. Oleh itu, bedunglah bayi anda dan dukunglah dia sambil menyanyikan lagu kegemarannya. Mungkin beliau akan tidur lena apabila didodoi begitu!

6. Urutan

Sesetengah bayi suka diurut. Tak apa jika anda tidak mengetahui caranya, asalkan ianya dilakukan dengan lembut dan penuh kasih sayang.

7. Salin baju dan lampinnya

Salah seorang ibu memberitahu saya bahawa apabila bayinya menangis tanpa diketahui sebab, beliau akan lakukan kesemua sekali; salin baju anaknya (mungkin baju yang dipakai tidak selesa baginya, boleh baca panduan memilih baju bagi bayi yang baru lahir di sini), salin lampinnya, sapukan losyen ke seluruh badan anaknya, susukan semula dan dukung sambil mendodoi anaknya. Kebiasaannya anaknya akan menjadi tenang dan tidur dengan mudah.


Walau bagaimanapun jika semua yang anda cuba masih tidak menjadi dan anda mula merasa marah/ kecewa ......

1. Berilah bayi anda kepada orang lain seperti suami/ ibu dan rehat serta tenangkan diri dahulu
2. Jika tiada orang di sekeliling yang dapat membantu, letakkan bayi di dalam cot atau tilam di atas lantai, dan biarkan dahulu beliau menangis untuk 5 minit. Kadangkala, bayi memang menangis tanpa apa-apa sebab dan asalkan anda memerhatikan dia, sedikit tangisan tidak akan mencederakan anak anda.
3. Jangan sesekali menggoncang bayi anda- ianya boleh menyebabkan pendarahan dalam kepala dan kematian
4.Sekiranya dia masih juga menangis, anda boleh membawa beliau untuk diperiksa oleh doktor. Kadangkala bayi mengalami jangkitan dalam telinga atau penyakit lain yang lebih serius dan perlukan rawatan doktor. Ketahui juga perkara-perkara mitos berkaitan demam di sini.

====

Bacaan lanjut:

1. Soothing a crying baby 
2. 12 reasons baby cry and how to soothe them


Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.