"Doktor, saya dengar imunisasi ni tak bagus untuk bayi. Ada yang boleh menyebabkan kecacatan bayi. Betul ke? Patut ke saya cucuk anak saya?"
Pada masakini , banyak perdebatan di antara ibubapa yang terjadi kerana dilema sama ada mahu memberikan vaksin mengikut jadual Kementerian Kesihatan Malaysia atau tidak. Vaksin disediakan untuk semua bayi secara percuma di semua klinik kesihatan ibu dan anak di seluruh Malaysia dan ibubapa hanya perlu membawa anak ke klinik-klinik ini. Di klinik swasta , harga vaksin ini sendiri tidak murah , harga kos setiap vaksin berbeza-beza : antara RM50-RM100 setiap satu. Jika ibubapa agak kesuntukan masa untuk pergi ke klinik kesihatan yang tentunya ramai pelanggan, ibubapa boleh pergi ke kebanyakan klinik swasta.
"Macam- macam yang saya baca di Internet sampai dah jadi pening..."
Seperti apa juga keputusan yang kita ambil dalam kehidupan, sebelum kita membuat keputusan , seelok-eloknya kita mengetahui terlebih dahulu , semua maklumat yang ada. Tentulah kita tak tahu apa keputusan kajian di masa hadapan: mungkin kajian 2 tahun lagi menunjukkan epal baik untuk menyembuhkan demam, atau mungkin kajian 5 tahun lagi menunjukkan vaksinasi membawa lebih banyak kemudaratan dari kebaikan, hanya Allah sahaja yang mengetahui. Tetapi pada masa sekarang, data yang ada bolehlah kita analisa dan fahami, supaya kita BERTANGGUNGJAWAB dengan keputusan yang kita buat.
"Adakah vaksinasi boleh menyebabkan penyakit autism , doktor?"
Isu ini timbul apabila kajian menunjukkan peningkatan bilangan kanak-kanak yang mengidap autism daripada tahun awal 1990-an. Oleh itu, ada yang membuat prasangka bahawa ini adalah kesan pemberian vaksin. Salah satu bahan pengawet yang digunakan dahulu ialah thimerosal.
Walau bagaimanapun, semenjak tahun 2001, thimerosal telah tidak digunakan dalam vaksin kanak-kanak kecuali satu jenis vaksin influenza ( vaksin influenza TIDAK diberikan dalam jadual imunisasi KKM). Beberapa kajian yang dijalankan juga menunjukkan tiada kaitan antara thimerosal dan autism. Antaranya ialah VSD Thimerosal and Autism Case Control Study yang diterbitkan dalam jurnal Pediatrics, September 2010. Di Denmark, sebuah kajian yang mengkaji 500,000 kanak-kanak mendapati tiada kena mengena antara vaksin dengan autism. Kesimpulan dari kajian ini ialah vaksin adalah SELAMAT diberikan.
"Kalau banyak kajian dah dilakukan , kenapa ramai yang mengatakan vaksin ini punca autism? Ada pelakon barat yang tulis buku , masuk TV Oprah Show bermati- matian mengatakan vaksin menyebabkan autism?"
Masalah utama yang kita hadapi ialah tiada sesiapa yang dapat mengenalpasti dengan tepat punca autism. Anak- anak yang sebelum ini normal, aktif dan ceria tiba- tiba mendiamkan diri, tidak memandang orang ketika bercakap dan tidak bercakap. Keadaan ini terjadi antara 2-3 tahun. Dan kerana vaksin diberikan semasa umur kurang 18 bulan, ibubapa memikirkan bahawa vaksin adalah punca perubahan anak mereka. Keadaan ini dinamakan "regressive autism".
Ibubapa yang tertekan dan tidak tahu mengapa anak kesayangan mereka berubah akan tercari-cari puncanya. Terdapat banyak kumpulan di Barat yang menolak hasil kajian perubatan ini dan juga percaya bahawa, banyak fakta dan statistik disorokkan oleh kerajaan. Mereka ini aktif menyebarkan pandangan mereka melalui semua media yang ada, dan ramai ibubapa yang terpengaruh dengan pandangan kumpulan ini.
Namun begitu, banyak kajian perubatan yang sedang berterusan dijalankan contohnya kajian The Childhood Autism Risks From Genetic and the Environment (CHARGE) di Universiti of California. Begitu juga, pihak CDC dan Institute of Medicine juga ada menjalankan kajian berterusan tentang perkara ini.
"Ramai kawan saya yang tidak mencucuk anak mereka. Tak ada apa-apa terjadi pun. Sihat walafiat dan cergas sahaja nampaknya. Kenapa saya perlu cucuk anak saya?"
Kebanyakan penyakit yang cuba dicegah telah dikawal dengan baik melalui program vaksinasi , Alhamdulillah. Satu ketika dahulu, penyakit TB dan kusta sangat berleluasa di Malaysia, sehingga kerajaan pada masa itu membuka pusat kesihatan khas ( di Sungai Buloh) bagi menempatkan pesakit-pesakit ini. Selepas program vaksinasi, bilangan pesakit TB dan kusta semakin berkurangan, pusat ini semakin kosong dan akan ditutup!
Apabila sesebuah masyarakat mempunyai sebilangan besar yang telah diimunisasi, masyarakat tersebut akan mempunyai herd immunity ( ketahanan kelompok) dan melindungi mereka yang tidak diimunisasi. Secara amnya, apabila orang yang menerima imunisasi, dijangkiti penyakit berjangkit seperti measles, difteria, pertussis ( batuk kokol) dan rubella, penyakit itu akan
Namun begitu, semakin ramai warganegara asing membanjiri Malaysia, dan program kesihatan di negara-negara ini tidak sebaik kita. Mereka membawa kembali penyakit yang hampir tiada seperti TB ( batuk kering) dan rakyat Malaysia semakin rama yang mendapat penyakit TB semula.
Begitu juga dengan penyakit campak ( measles ). Pada tahun- tahun yang lepas , bilangan pesakit measles sangat sedikit namun pada tahun ini, jumlahnya semakin meningkat terutama di negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Pada tahun 2011 , Selangor mencatatkan kes measles tertinggi di Malaysia dengan 106 kes dalam 1 juta penduduk kerana ramai ibubapa di sini yang tidak memberi vaksinasi kepada anak mereka. Kebanyakan pesakit ini adalah terdiri daripada mereka yang tidak diberikan imunisasi semasa kecil.
Melihat pada keadaan ini, mantan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato Seri Hasan yang merupakan Pakar Kesihatan Awam pernah membuat rayuan secara terbuka agar ibubapa memberikan kerjasama dalam memberikan vaksin pada anak-anak mereka.
jadual imunisasi terbaru 2016 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) |
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.