Kebelakangan ini kita kerap membaca berita-berita yang menyatakan bahawa penggunaan tuala wanita boleh menyebabkan kanser, terutamanya kanser serviks dan uterus. Malah terdapat satu emel yang tersebar yang menyatakan 56 wanita menemui ajal kerana tuala wanita. Apakah berita ini benar?
Hujah yang menyokong tuala wanita komersial sebagai penyebab kanser serviks
Terdapat pelbagai pendapat yang menjurus kepada penggunaan tuala wanita komersial sebagai penyebab kanser serviks, antaranya adalah ;1. penggunaan Dioxin sebagai bahan peluntur tuala wanita boleh menyebabkan kanser;
2. Tuala wanita komersial memerangkap peluh dan suhu, menggalakkan pertumbuhan bakteria dan kulat.
Fakta dari dunia perubatan
Hakikatnya, masih tiada satu kajian klinikal yang konklusif yang menyatakan bahawa tuala wanita adalah penyebab kanser. Sebuah kajian di Mali di mana kanser serviks merupakan kanser nombor satu di kalangan wanita di Mali, didapati bahawa virus HPV dan bilangan anak merupakan faktor risiko utama kanser serviks. Di negara tersebut, tuala wanita komersial tidak digunakan langsung kerana tahap ekonomi yang rendah. Begitu juga dengan kajian di Kerala, India yang menunjukkan tiada kaitan antara penggunaan tuala wanita komersial dengan kanser serviks.Vaksin Kanser Serviks
Vaksin bagi HPV diberikan secara percuma di Malaysia kepada gadis-gadis di sekolah menengah. Vaksin ini adalah untuk perlindungan khasnya strain 16, dan strain 18. Walaupun telah divaksinasi dengan vaksin ini, pemeriksaan berkala dengan doktor masih diperlukan mengambilkira strain lain yang tidak dilindungi oleh vaksin.Kajian keselamatan ke atas tuala wanita
Satu kajian telah dijalankan ke atas tuala wanita komersial dan kandungannya. Kajian tersebut mendapati bahawa tiada kesan sampingan berbahaya ditemui. Malah dalam tempoh 5 tahun, hanya 1 aduan dilaporkan bagi 2 juta produk yang dipasarkan.Faktor risiko lain bagi kanser serviks
Selain dari virus HPV, perkara-perkara yang boleh meningkatkan risiko mendapat kanser serviks adalah :1. merokok
2. Mengidap HIV
3. Penggunaan pil perancang kehamilan untuk tempoh yang lama (5 tahun atau lebih)
4. Melahirkan anak seramai 3 orang atau lebih; dan
5. Mempunyai beberapa orang pasangan.
Perkara-perkara yang tidak dikaitkan dengan kanser serviks
1. Kegemukan (obesiti)2. Penggunaan HRT selepas menopaus
3. Penerima organ
4. Ubat tahan sakit NSAIDs
5. Ubat kolesterol seperti statin
6. Prosedur persenyawaan in-vitro (IVF)
Tuala wanita kain (cloth pads)
Walau bagaimanapun, penggunaan tuala wanita kain kini mendapat sambutan ramai. Penggunaan tuala wanita kain kian popular kerana :Tuala wanita kain yang menarik |
1. Corak yang menarik
Tuala wanita kain dijahit dengan pelbagai corak dan material. Selain dari kain minky yang lembut, material seperti microfleece juga kerap digunakan bagi menyerap lembapan dari kulit dan menjadikannya kering serta selesa. Malah, banyak tuala wanita komersial yang telah meniru trend ini dan menghasilkan tuala wanita dengan corak-corak yang cantik bagi menarik perhatian pelanggan.2. Penjimatan ekonomi
Tuala wanita kain dapat digunakan berkali-kali dan merupakan satu penjimatan dalam keadaan ekonomi yang gawat pada masakini.3. Memelihara alam sekitar
Tuala wanita komersial perlu dibuang dan ini menyumbang kepada peningkatan sampah di tapak pembuangan sampah. Malah lapisan plastik di dalam tuala wanita menjadikan tuala wanita komersial tidak dapat dibiodegradasi secara semulajadi.4. Keselesaan
Tuala wanita kain memberikan keselesaan kepada pemakai melebihi tuala wanita biasa. Ini kerana material kain membolehkan pengudaraan berlaku dan kulit boleh "bernafas". Tuala wanita kain juga tiada pelekat yang boleh "tersalah dilekatkan" serta plastik yang merengsakan kulit pengguna.Kesimpulan
Secara amnya, tiada kajian klinikal yang menunjukkan bahawa penggunaan tuala wanita komersial mencetuskan kanser serviks. Walaupun begitu, penggunaan tuala wanita kain memberikan faedah-faedah lain dari aspek kelestarian alam sekitar, penjimatan ekonomi dan nilai estetik serta keselesaan pengguna.----
Rujukan:
Woeller KE1, Hochwalt AE2.Safety assessment of sanitary pads with a polymeric foam absorbent core. Regul Toxicol Pharmacol. 2015 Oct;73(1):419-24. doi: 10.1016/j.yrtph.2015.07.028. Epub 2015 Aug 5.
Raychaudhuri S1, Mandal S. Socio-demographic and behavioural risk factors for cervical cancer and knowledge, attitude and practice in rural and urban areas of North Bengal, India.
Asian Pac J Cancer Prev. 2012;13(4):1093-6.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.