3 RAHSIA kebahagiaan dan kesejahteraan daripada kajian Harvard selama 75 tahun

Jumaat, 26 Februari 2016


Saya pasti ramai yang telah terlihat iklan berkenaan video ini di newsfeed masing-masing - video ini adalah berkenaan penemuan yang ditemui hasil dari kajian selama 75 tahun berkaitan kebahagiaan dan kesejahteraan manusia.



Penemuan dari kajian ini dibentangkan oleh Robert Waldinger. Beliau merupakan seorang pakar psikiatri di Harvard Study of Adult Development.

Rahsia bahagia:kaya dan terkenal?

Melihat trend di newsfeed facebook dan suratkhabar, jelas sekali bahawa kebanyakan kita inginkan kekayaan dan menjadi terkenal. Iklan mengenai kursus kewangan, temuramah dengan artis, ahli politik dan jutawan penuh di dada-dada majalah dan portal berita di internet, menggambarkan hasrat masyarakat masakini yang mengidolakan kekayaan dan populariti. Apatah lagi jika individu tersebut terkenal kerana kaya. Tak percaya? Cuba tanya anak-anak kecil masakini- siapa tak kenal Dato' Vida? Qu Puteh!

Kita diberitahu bahawa, kalau kita kaya dan terkenal, kita akan bahagia selama-lamanya...
Kalau kita kaya dan terkenal, kita akan sejahtera hingga akhir hayat...

Betulkah?

Methodologi kajian

Kajian ini mengkaji kehidupan 724  orang lelaki selama 75 tahun. Sehingga kini, hanya 60 lelaki yang masih hidup dan setia berada dalam kajian ini. Terdapat dua kumpulan lelaki yang dikaji- kumpulan pertama adalah mereka yang belajar di Kolej Harvard, kebanyakan mereka menyertai Perang Dunia selepas itu. Kumpulan kedua pula adalah mereka yang berasal dari kumpulan yang paling miskin di Boston, di mana air panas pun tiada di rumah mereka.

Budak-budak lelaki belasan tahun ini menjalani pemeriksaan perubatan, dan ibubapa mereka ditemuramah. Selanjutnya, mereka membesar dan menyertai dunia pekerjaan. Ada yang menjadi doktor, peguam, pembina rumah malah seorang dari mereka menjadi Presiden Amerika Syarikat!

Selain daripada menjawab soalan, para pengkaji juga menemuramah isteri mereka dan merakam perbualan mereka dengan ahli keluarga yang lain. Subjek juga menjalani pemeriksaan fizikal, menjalani scan otak dan anak-anak mereka juga ditanya.

Penemuan #1:perhubungan sosial penting untuk kebahagiaan


Kajian ini menemui bahawa, perkara yang paling penting dalam menentukan kebahagiaan adalah perhubungan sosial. Individu yang lebih kuat pertaliannya dengan kaum keluarga, rakan-rakan dan masyarakat, lebih GEMBIRA, lebih SIHAT secara FIZIKAL dan HIDUP lebih lama. Individu yang hidup bersendirian lebih sering mengalami kesedihan, pemikiran mereka merosot dengan lebih cepat dan mereka meninggal dunia lebih awal.

Penemuan #2:kualiti hubungan sosial adalah penting


Di samping memiliki keluarga dan rakan-rakan, apa yang lebih penting adalah kualiti hubungan tersebut. Berada dalam satu perkahwinan tanpa kasih sayang, adalah lebih berbahaya dan mendukacitakan daripada penceraian. Perkahwinan yang hangat dan penuh persefahaman, didapati melindungi lelaki-lelaki tersebut daripada kesihatan yang buruk.

Pengkaji kajian ini menganalisa keputusan darah dan keadaan subjek pada usia 50 tahun, dan membandingkan dengan keadaan subjek semasa berumur 80 tahun. Apa yang mereka dapati adalah kadar kolesterol subjek tidak menentukan tahap kesihatan subjek pada usia 80 tahun. Sebaliknya, tahap kepuasan subjek dengan hubungan sosial - memainkan peranan utama.

Apabila kita menginjak usia emas, kesihatan kita merosot secara semulajadi- mata menjadi kurang nampak, pendengaran berkurangan, sendi-sendi mulai sakit dan penyakit kronik mulai mengetuk pintu kehidupan kita. Perkahwinan yang penuh cinta dan persefahaman, akan membolehkan pasangan tersebut merasa gembira dan tenang - dalam menghadapi apa cabaran yang datang. Sebaliknya, sekiranya perhubungan tersebut tidak stabil, masalah kesihatan sebegini akan menjadi lebih besar daripada yang sebenarnya.

bersiar-siar_di_taman
Berlibur bersama keluarga pada hari minggu

Apabila kita mempunyai perhubungan yang stabil dengan seseorang, kita merasakan kita boleh bergantung kepada individu tersebut dalam waktu kesusahan, ingatan dan fungsi otak kita akan bertahan lebih lama. Perhubungan tersebut tidak semestinya "aman damai macam Shahrukh Khan-Kajol" sepanjang masa, kita masih boleh bergaduh sepanjang hari, asalkan kita tahu di saat kita memerlukan pasangan kita, beliau akan berada bersama kita.

Dr Robert menyatakan, dalam kehidupan kita sehari-harian, kita sukakan perkara yang instant, yang cepat,yang mudah (macam mi segera dan kopi 3-dalam-1 eh?). Kita sering terlupa perkara-perkara seperti keluarga dan kawan, kerana membina hubungan bukanlah mudah. Ianya tidak seksi dan glamer, juga tidak memberikan wang ke dalam akaun bank kita. Ianya adalah kerja sepanjang hayat- kita perlu berusaha membina perhubungan yang baik.

Oleh itu, jom kita mulakan...Angkatlah telefon dan bersembang dengan ibubapa kita, atau buatkan kek untuk adik-beradik kita. Berjumpa rakan-rakan lama dan bertanya khabar berita. Libatkan diri dalam aktiviti kejiranan. Mana tahu, perkara-perkara ini sebenarnya boleh membantu kita mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan yang selama ini kita impikan ....


Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.