Bila anak dibuli...

Selasa, 2 Februari 2016

sad girl
Bila anak dibuli

Petang itu, anak perempuan saya keluar dari sekolahnya dengan muka yang sangat sayu. Matanya berkaca-kaca, longlai langkahnya.

“Ibu, tak boleh beli aiskrim hari ni….students took my money….” katanya sebelum air mata berhamburan bagai hujan di bulan November.

Saya peluk dia. Anak saya itu baru seminggu menjejak kaki ke sekolah rendah. Baru hendak belajar tentang dunia dan manusia. Setiap hari saya mendengar kisah-kisahnya. Tentang “kawan” yang suka mengambil air minuman. “Kawan” yang meminjam buku tulis kosong lalu menconteng sesuka hati. “Kawan” yang memeriksa beg setiap hari dan mengambil wang/ makanan yang ada.

Apa itu buli?

Kebanyakan kanak-kanak selalu bergurau dengan adik beradik atau kawan-kawan setiap masa. Ianya tidak memberi kesan buruk sekiranya kedua-dua pihak merasakan gurauan tersebut kelakar. Walau bagaimanapun, sekiranya dilakukan berterusan dengan cara yang menyinggung perasaan, ianya perlu dihentikan.

Perbuatan membuli adalah satu penyeksaan (fizikal,perkataan atau secara psikologi) yang sengaja dilakukan. Contoh perbuatan buli adalah seperti mengejek,memukul, menggertak atau menyebarkan fitnah untuk menyinggung perasaan orang yang dibuli.

Sebagai ibubapa, kita perlu mengambil berat berkaitan buli dan bukannya sesuatu yang anak-anak kita perlu “kuatkan diri” dan menelan semuanya bersendirian. Perbuatan buli boleh menggugat keselamatan peribadi dan nilai diri.

Kenapa kanak-kanak membuli

Kadangkala, kanak-kanak yang membuli memerlukan mangsa. Oleh itu, mereka mencari rakan-rakan yang lebih lemah dari mereka secara fizikal atau emosi, atau seseorang yang berbezå dari mereka. Tujuan perbuatan buli ini adalah supaya mereka merasa in-control, atau ingin popular atau pun lebih penting dari orang lain.

Sesetengah kanak-kanak mula membuli kerana perbuatan tersebut adalah perkara biasa dilihatnya di rumah atau di kalangan ahli keluarga. Mereka melihatnya sebagai sesuatu yang normal di mana ahli keluarga dipanggil dengan panggilan mengejek atau tidak disukai.

Bagaimana mengetahui anak anda dibuli?

Kecuali anak anda dibuli secara fizikal, pembulian secara emosi lebih sukar dikesan. Walau bagaimanapun, perubahan perlakuan seperti kelihatan risau, tidak mahu makan/minum seperti biasa atau cuba mengelak dari pergi sekolah- adalah tanda-tanda yang biasa ditemui bagi kanak-kanak yang dibuli di sekolah.

Perkara yang boleh dilakukan jika anda mengesyaki anak anda dibuli:



  • Beritahu beliau, bahawa beliau boleh mempercayai anda- atau orang yang boleh dipercayai seperti guru/abang atau kakak.
  • Sekiranya beliau keberatan bercerita, anda boleh bertanya pendapat beliau sekiranya ada drama/filem di tv berkaitan pendapat beliau tentang situasi tersebut.
  • Jika anak anda memberitahu anda keadaan sebenar, jelaskan kepadanya bahawa ianya bukanlah salah beliau. Berikan galakan dan yakinkan beliau bahawa anda akan mencari jalan penyelesaian bersama-sama dengannya. Jadilah pendengar yang baik dan neutral, kerana jika anda menunjukkan reaksi marah, anak anda mungkin tidak mahu menceritakan apa-apa lagi kepada anda.
  • Maklumkan guru di sekolah (guru kelas/guru besar) tentang situasi tersebut. Biasanya mereka boleh menghalang masalah tersebut dari menjadi bertambah buruk.


Nasihat anda kepada anak yang dibuli

Kebanyakan ibubapa akan menyuruh anak mereka untuk melawan semula apabila mereka dibuli. Walau pun begitu, nasihatkan anak anda supaya jangan bergaduh atau melawan semula. Ianya boleh menjadi teruk dan mencederakan anak anda/orang lain. Nasihatkan anak anda supaya beredar dari tempat itu, dan beritahu seorang dewasa seperti guru.

Guru boleh memainkan peranan yang besar dalam mengelakkan buli terjadi di sekolah. Artikel ini menyentuh berkaitan langkah-langkah yang dijamin berkesan bagi mengelakkan kejadian buli di sekolah. Walaupun saya berdoa agar semua guru dapat bertindak begini, kita juga mesti realistik bahawa dengan bilangan murid yang ramai di setiap kelas, keupayaan guru di sekolah-sekolah Malaysia mungkin terhad.

Kebanyakan orang yang membuli suka membuli orang-orang yang senang merasa sedih dan tersinggung. Ajarkan anak anda bagaimana mengawal perasaan dan tidak menunjukkan emosi terhadap perkataan atau perbuatan buli tersebut.

Akhir sekali, selalulah berdoa kepada-Nya agar memelihara anak kita sentiasa, kerana sesungguhnya Dia adalah yang Maha Melindung lagi Maha Mengetahui. Usahakanlah semaksimum mungkin dan kita serahkan keputusannya kepada Tuhan supaya memberkati usaha kita dan memudahkan segala urusan anak kita ketika beliau tiada dalam penjagaan kita.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.