"Doktor, makcik ni selalu sakit lutut. Pakar suruh makcik operate, tapi makcik tak mampu. Takut pulak tu. Hari-hari makan ubat tahan sakit. Ada apa-apa tak yang boleh kurangkan sakit makcik ni?"
Hampir setiap hari saya bertemu dengan rintihan begini dan sayu sekali hati saya mendengarnya. Tidak dapat saya bayangkan makcik pakcik ini turun naik tangga rumah kampung dalam keadaan sakit lutut. Keadaan ini akan menjadi lebih teruk semasa bukan Ramadhan. Kebanyakan mereka ingin berterawih setiap malam di surau, lalu terpaksa mengambil ubat penahan sakit setiap hari. Akibatnya, ramai yang saya temui mengalami pendarahan perut terutamanya di penghujung Ramadhan.
Apakah osteoarthritis?
Masalah yang dialami oleh mereka ini disebut " osteoarthritis".
Apabila kita semakin berusia, rawan di antara sendi akan menjadi kurang elastik dan mudah cedera. Oleh itu, permukaan tulang akan menjadi rosak dan pecahan- pecahan tulang dan sendi ini akan terapung dan merosakkan lagi tulang dan sendi. Permukaan sendi mengeluarkan bahan kimia keradangan seperti interleukin (IL-1b) dan cyclooxygenase ( COX-1) dan (COX-2). Bahan - bahan ini boleh menyebabkan kebengkakan sendi dan kesakitan. (1)
Simptom atau tanda penyakit osteoarthritis ialah
-sakit pada lutut atau sendi, terutama selepas bersenam atau pergerakan-sukar menggerakkan sendi- sendi , terutama pada waktu pagi
- terdapat bunyi " meletup" apabila menggerakkan sendi
Apakah Omega 3?
Omega 3 adalah sejenis lemak yang diperlukan oleh badan , tetapi tidak dapat dibuat sendiri. Kita memerlukan lemak ini daripada pemakanan seharian. Terdapat banyak jenis, tetapi jenis yang terbaik ialah DHA dan EPA yang diperoleh dari sumber ikan. Jenis ALA juga terdapat dalam tumbuhan seperti flakseed dan algae laut.
Macam mana ianya berfungsi?
Omega 3 yang berada dalam cecair sendi didapati mengurangkan penghasilan enzim yang merosakkan rawan serta mengurangkan rasa sakit yang dialami.ianya juga membantu pertumbuhan rawan serta memperbaiki rawan yang rosak. Oleh kerana ianya bukan ubat tahan sakit (NSAID) maka ianya adalah lebih selamat digunakan.
Adakah kajian yang menunjukkan ianya berkesan?
Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan omega 3 dapat mengurangkan sakit dan mengurangkan penggunaan ubat tahan sakit. Kebanyakan kajian menunjukkan ianya berkesan terutamanya bagi para pesakit Rheumatoid Arthritis. (2)
Bagi pesakit osteoarthritis, sebuah kajian yang dijalankan ke atas 177 pesakit menggunakan omega-3 yang dimakan bersama glucosamine 1500 mg dan vitamin A,D dan E menunjukkan 80 peratus pesakit yang mengambilnya setiap hari selama 26 minggu telah dapat mengurangkan kesakitan sebanyak sekurang- kurangnya 20 peratus. (3). Kajian ini juga menunjukkan kesan sampingan yang sangat sedikit berbanding jika pesakit mengambil ubat penahan sakit NSAIDs.
Adakah omega-3 memiliki faedah-faedah lain?
Ya! Kajian menunjukkan omega-3 juga boleh membantu mengurangkan kadar lemak triglyceride di dalam badan.(4) Kadar triglyceride uang tinggi di dalam badan boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.
Ianya juga didapati dapat mengurangkan kemurungan, melindungi daripada Alzheimer's dan dementia ( nyanyuk) serta serangan asthma.(5)
Dari mana saya patut mendapatkan Omega-3?
Tuan puan dinasihatkan mendapatkan Omega-3 daripada makanan. Ikan - ikan yang banyak mengandungi omega-3 ialah ikan salmon, mackerel, ikan bilis,ikan tuna dan ikan sardin. Pengambilan ikan- ikan ini 2-3 kali seminggu dipercayai sudah mencukupi dan membekalkan omega-3 yang diperlukan oleh badan.
Bolehkah omega-3 diambil oleh orang yang tiada masalah kesihatan?
Sehingga kini, belum ada kesan sampingan yang teruk dilaporkan kerana pengambilan omega-3. Walau bagaimanapun , American Heart Association menyarankan agar pengambilan omega-3 dipantau oleh pegawai perubatan. Ini kerana sifatnya yang dapat mencairkan darah. Jika dos yang tinggi iaitu 3g ke atas- diambil bersama ubatan lain seperti ginseng, ubat pencair darah seperti aspirin/ warfarin dan lain- lain, bimbang dapat menimbulkan kesan seperti pendarahan perut.
Sekiranya anda mengambil supplemen omega-3, anda mungkin merasa sedikit
- kembung
- loya
- najis menjadi lembut- perkara yang baik jika anda sering mengalami sembelit!
Kesan ini boleh dikurangkan dengan memakan omega-3 semasa mengambil makanan berat seperti makan tengahari atau makan malam.
---------
Rujukan:
(1) 1. Felson DT. Developments in the clinical understanding of osteoarthritis. Arthritis Research & Therapy. 2009;11(1, article 203)
2, Galarraga B, Ho M, Youssef HM et al.Cod liver oil (n-3 fatty acids) as an non-steroidal anti-inflammatory drug sparing agent in rheumatoid arthritis.Rheumatology(Oxford)2008 May;47(5):665-9. doi: 10.1093/rheumatology/ken024. Epub 2008 Mar
3. Jorg Jerosh.Effects of Glucosamine and Chondroitin Sulfate on Cartilage Metabolism in OA: Outlook on Other Nutrient Partners Especially Omega-3 Fatty Acids.Int J Rheumatol. 2011; 2011: 969012.Published online 2011 August 2. doi: 10.1155/2011/969012,PMCID: PMC3150191
4. McKenney JM.Sica D.Role of prescription omega-3 fatty acids in the treatment of hypertriglyceridemia.Pharmacotherapy. 2007 May;27(5):715-28
5. Li J, Xun P, Zamora D et al. Intakes of long-chain omega-3 (n-3) PUFAs and fish in relation to incidence of asthma among American young adults: the CARDIA study.Am J Clin Nutr. 2013 Jan;97(1):173-8. doi: 10.3945/ajcn.112.041145. Epub 2012 Nov 28.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.