6 perkara mengenai emosi manusia yang boleh dipelajari dari filem Inside Out

Ahad, 23 Ogos 2015



Sudahkah anda membawa anak-anak anda menonton filem “Inside Out” yang diterbitkan oleh Disney/Pixar? Anak sulung saya telah menanti filem ini selama 2 bulan dan setiap hari dalam minggu lepas, beliau mengira hari untuk kami menontonnya! Jadi untuk tidak mengecewakan beliau, kami sekeluarga telah menonton filem ini pada malam Jumaat lepas.

Apakah kisah yang disampaikan dalam filem ini?

Inside Out berkisar tentang Riley, seorang budak perempuan berusia 11 tahun yang baru pindah ke San Francisco dari Minnesota. 
kartun inside out

Walau bagaimana pun, Riley bukanlah watak utama dalam filem ini! Watak utama dalam filem ini adalah 5 “perasaan” yang tinggal dalam fikiran Riley - Joy ( kegembiraan), Sadness (kesedihan), Anger (kemarahan), Fear (ketakutan) dan Disgust (perasaan jijik). Konflik dalam filem ini terjadi apabila Sadness secara tidak sengaja telah menghilangkan Core Memories (Ingatan teras) Riley yang merupakan asas kepada personaliti Riley dan Joy bersama Sadness terpaksa membawa semula Core Memories tersebut pulang ke Ibu Pejabat.

Apakah perkara yang boleh kita pelajari dari filem ini?

Sangat banyak perkara yang boleh kita pelajari dari filem ini. Kebanyakan perkara yang dipaparkan adalah berkaitan dengan fisiologi otak manusia - dari segi ingatan, personaliti diri dan psikologi. Antara yang menarik adalah -

1. 5 Emosi yang dipaparkan

5 emosi yang menjadi watak utama filem ini merupakan 5 perasaan utama yang dialami oleh semua manusia- tidak kira bangsa atau negara. Terdapat satu lagi emosi utama - Surprise (terperanjat) yang tidak dimasukkan dalam filem ini. Menurut pakar psikologi dan saintis, Paul Eckman, kajian beliau di seluruh dunia menunjukkan perasaan yang sama dialami oleh manusia di seluruh dunia dan ekpresi wajah yang dihasilkan juga sama. Penemuan Paul Eckman ini telah digunakan dalam banyak kajian psikologi dan menjadi sumber inspirasi siri televisyen terkenal, “Lie To Me”.

2. Personaliti utama 

Dalam filem ini, personaliti utama Riley adalah Joy (kegembiraan). Dari aspek saintifik, personaliti setiap kita ditentukan oleh perasaan utama ; perasaan ini mempengaruhi bagaimana kita melihat dunia persekitaran kita, bagaimana kita menyatakan pandangan kita dan apakah perasaan yang dibangkitkan dalam diri orang lain berkaitan kita.

3.Peranan Sadness

Sadness (kesedihan) dalam filem ini digambarkan sebagai seorang yang gemuk, malas dan menyusahkan Joy ( kerana terpaksa mengheret beliau sepanjang perjalanan pulang ke Ibu Pejabat). Dari segi psikologi, perasaan sedih sebenarnya membangkitkan kesan fisiologi bagi memberikan tindak balas terhadap sesuatu kehilangan. Perasaan sedih juga biasanya akan menarik perhatian orang lain, terutamanya ahli keluarga atau rakan rapat untuk datang memberikan sokongan dan pertolongan.

Kajian menunjukkan bahawa perasaan kita pada sesuatu masa memberikan kesan terhadap apa yang kita ingat tentang masa lalu.Emosi kita juga akan memberikan panduan tentang apa yang patut kita lakukan- contohnya apabila kita melihat kucing dipukul oleh seorang budak misalnya, kita merasa marah dan otak kita akan berfikir apakah yang patut kita lakukan pada masa itu ( menasihatkan budak tersebut? menyelamatkan kucing tersebut?) atau pun jangka panjang ( mengadakan kempen kesedaran? menyokong rumah perlindungan haiwan? mencadangkan akta perlindungan haiwan?).

4. Personaliti manusia terbina dari memori teras

Dalam filem ini, personaliti Riley digambarkan terdiri daripada pulau-pulau (Goofball island, Honesty Island, family Island) yang berasal dari memori teras. Dari aspek psikologi, personaliti manusia terbina daripada ingatan kita terhadap kejadian penting yang pernah terjadi kepada diri kita. Dalam filem ini, Riley dipaparkan menghadiri sesi pemilihan hoki di San Francisco. Walau bagaimanapun, Riley tidak dapat mengingat kembali memori teras beliau yang menggambarkan betapa bagusnya beliau ketika bermain hoki. Keyakinan Riley hilang dan Riley putus asa dalam pemilihan tersebut.

5. Pertukaran ingatan jangka pendek menjadi jangka panjang

Apabila sesuatu ingatan dianggap penting atau diulang banyak kali, neurotransmitters dopamin dan glutamate akan memastikan ingatan tersebut menjadi ingatan jangka panjang. Begitu juga, apabila sesuatu ingatan tidak diulang, ingatan tersebut boleh menjadi ‘hilang” dan dilupai.

6. Cara mengendalikan Sadness 

Masyarakat masakini amnya, tidak menggemari kesedihan. Dunia di sekeliling kita memberikan penekanan yang lebih ke arah kegembiraan yang terbukti dari segi media hiburan dan media cetak yang kita dengar dan lihat sehari-hari. 

Apabila Riley gagal merasakan kesedihan , Riley menjadi pemarah, dan bergaduh dengan ibu baoa dan kawan-kawannya, sebelum menjadi numb- gagal merasa apa-apa langsung. Simptom-simptom ini, sekiranya berlarutan lebih dari 2 minggu - boleh didiagnos sebagai Major Depressive Disorder (Kemurungan) dan memerlukan rawatan pakar psikiatri untuk mengembalikan Riley kepada keadaan normal.

Filem ini walau bagaimanapun, memberi saranan baru iaitu Kesedihan (Sadness) perlu diberi ruang dalam kehidupan seharian kita bagi membolehkan kita menjalani kehidupan yang normal dan seimbang. Apabila kita cuba menidakkan satu jenis perasaan, lama-kelamaan kita akan gagal merasa apa-apa. Kehidupan manusia sememangnya dipenuhi dengan pelbagai kejadian yang menimbulkan kesedihan- kegagalan, kehilangan, kematian, perpindahan dan lain-lain. Filem Inside Out ini mencadangkan agar kita menerima kesedihan, dan biarkanlah para remaja / anak-anak kita meluahkan kesedihan mereka. Apabila kesedihan dikongsi , ia menimbulkan perasaan empathy dan seterusnya akan mengurangkan kesedihan yang ditanggung oleh remaja/ anak-anak. Proses ini akan mengenalpasti perkara-perkara yang hilang dan anak-anak kita akan dapat melangkah ke hadapan untuk membentuk dunia yang baru, tanpa terbeban dengan perasaan yang terbuku dalam fikiran dan hati mereka.

------
bacaan lanjut bagi pembaca yang berminat:
1. https://www.psychologytoday.com/blog/beyond-heroes-and-villains/201506/inside-out-emotional-truths-way-pixar
2.http://www.quora.com/How-realistic-is-the-psychology-behind-Inside-Out
3.http://www.empireonline.com/empireblogs/empire-states/post/p1463

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.