Kes Measles Meningkat di Kuala Lumpur

Rabu, 29 Julai 2015

measles (demam campak) sangat mudah menjangkiti kanak-kanak

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa terdapat peningkatan kes-kes Measles yang terjadi terutamanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. (28 Julai 2015)

Menurut Datuk Dr Noor Hisham, terdapat peningkatan kes demam campak (measles) di WP Kuala Lumpur pada tahun 2015. Sehingga 30 Jun 2015, sebanyak 73 kes yang disahkan measles telah dilaporkan berlaku di WP Kuala Lumpur. Kes-kes ini berumur sebulan sehingga 43 tahun dan 79% daripada kes didapati tiada suntikan vaksin measles. Artikel ini menceritakan bagaimana mengenalpasti tanda-tanda measles pada kanak-kanak.

Mengapakah measles berbahaya?


CDC menggelar penyakit ini “most deadly of all childhood rash/fever illness”.

Sebelum vaksin measles tercipta, penyakit ini membunuh sebanyak 2.6 juta kanak-kanak setahun. begitulah betapa dahsyatnya penyakit ini kerana ianya sangat mudah berjangkit kepada orang lain. 90% daripada mereka yang tidak imun kepada penyakit ini, akan mendapat measles sekiranya berada berhampiran dengan pesakit measles.

Measles boleh menyebabkan komplikasi yang serius terutamanya kepada kanak-kanak bawah 5 tahun. Ianya boleh menyebabkan :
  • buta
  • encephalitis ( jangkitan yang boleh menyebabkan otak membengkak)
  • cirit- birit yang teruk sehingga kekurangan air dalam badan
  • jangkitan telinga; dan 
  • jangkitan paru-paru.

Siapakah yang boleh dijangkiti measles?

Measles lebih mudah menjangkiti mereka yang mengalami malnutrisi , seperti kekurangan vitamin A atau mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah seperti HIV/AIDS dan lain-lain. Ibu mengandung yang dijangkiti measles juga boleh mengalami keguguran atau lahir tidak cukup bulan. Di samping itu, mereka yang tidak divaksinasi (termasuk bayi kecil yang belum menerima imunisasi) juga berisiko tinggi untuk dijangkiti dan mengalami komplikasi penyakit ini.

Bagaimanakah penyakit ini merebak?

Virus paramyxovirus yang menyebabkan penyakit ini merebak melalui ; 
  • batuk
  • bersin
  • terkena pemukaan barang yang mempunyai virus
  • terkena cairan hidung atau tekak

Virus ini aktif dan boleh hidup di udara/ atas permukaan barangan sehingga 2 jam di luar badan. 

Seseorang yang dijangkiti measles, boleh menyebabkan orang lain dijangkiti, dari tempoh 4 hari sebelum ruam timbul sehingga 4 hari selepas ruam muncul.

Seseorang yang dijangkiti measles boleh mempunyai tempoh selama 10-12 hari sebelum apa-apa tanda muncul. tanda-tanda tersebut adalah seperti :
  • demam
  • sakit mata
  • selesema
Selepas beberapa hari, ruam akan mula naik di muka pesakit dan merebak ke seluruh badan.

Bagaimanakah measles boleh dirawat?

Measles tidak mempunyai rawatan yang khusus bagi menyembuhkan penyakit measles.

Apa yang penting adalah pesakit mendapat air minuman dan makanan yang seimbang dan cukup. Kehilangan air menerusi muntah dan cirit-birit mesti dirawat segera. Jangkitan pada mata, telinga atau paru-paru mestilah dirawat dengan antibiotik.

Di sesetengah negara membangun, vitamin A turut diberikan sebanyak 2 dos selang 24 jam. Ia boleh menghalang kebutaaan dan kerosakan mata. Vitamin A didapati dapat mengurangkan kada kematian akibat measles sebanyak 50 peratus.

Bagaimanakah mencegah wabak measles?

Wabak ini boleh dicegah dengan kempen vaksinasi bagi mengekalkan herd immunity. Ini telah terbukti dengan penurunan kes kematian measles sebanyak 75% dari tahun 2000 sehingga 2013. Terdapat ibubapa yang mengatakan bahawa penurunan ini bukanlah sekadar berpunca dari vaksinasi, tetapi lebih berpunca dari peningkatan taraf hidup - seperti bekalan air bersih dan kesedaran kebersihan yang meningkat. Walau bagaimanapun, jika kita perhatikan, jumlah kes measles yang dikesan adalah berkadar langsung dengan peningkatan jumlah ibu bapa yang tidak mahu anak mereka divaksinasi. Maksudnya, semakin ramai ibu bapa yang tidak memvaksinasi anak mereka, maka semakin banyak kes measles terjadi.

Di Malaysia, vaksin measles diberikan sebagai sebahagian dari vaksin MMR ( measles/ mumps / rubella). Ianya biasa diberikan ketika kanak-kanak berusia 1 tahun dan 7tahun. Keberkesanan vaksin ini addalah agak bagus iaitu sebanyak 93% bagi satu dos, dan 97% bagi dua dos.

Immunise4life.my adalah satu website yang baik yang mengandungi pelbagai video dan maklumat lanjut bagi menerangkan tentang penyakit-penyakit berjangkit yang perlu divaksinasi ini. Saya jemput tuan/puan yang ingin mendidik diri dan mencuba memberikan perlindungan yang terbaik untuk keluarga agar singgah di website ini untuk membaca serba sedikit berkaitan penyakit-penyakit berjangkit contohnya Rubella, Pertussis (batuk kokol) dan Polio.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.