Hidung berdarah ; punca dan rawatan

Ahad, 26 Julai 2015


hidung_anak_berdarah
“Dr, anak saya selalu mengalami hidung berdarah. Selalunya hidung dia akan berdarah pada cuaca yang panas. Bahaya ke masalah hidung berdarah ni Dr?”


Masalah hidung berdarah adalah masalah yang selalu terjadi terutamanya di kalangan kanak-kanak. Hidung berdarah bukanlah satu keadaan yang bahaya dan jangan risau, selalunya kehilangan darah tersebut tidak banyak! Oleh itu, jika hidung anak anda berdarah, perkara yang pertama sekali yang perlu anda buat adalah tarik nafas dan bertenang…..

Apakah punca-punca hidung berdarah?

Berikut adalah punca-punca utama hidung berdarah - 

1. Mengorek hidung

Kanak-kanak kecil memang gemar mengorek hidung. Kadang kala mereka tidak selesa dengan keadaan hidung mereka atau merasakan terdapat “tahi hidung” yang keras dalam hidung. Oleh itu mereka cuba mengeluarkannya dengan jari. Ini mendedahkan jari kepada salur darah yang ada dalam hidung dan salur darah ini mudah terluka. Kawasan yang selalu terlibat dipanggil "Little's area" yang senang berdarah.

2. Kecederaan

Kanak-kanak yang sedang bermain boleh terdedah kepada pelbagai kecederaan - biasanya mereka boleh terpukul sesama sendiri atau terlanggar benda yang keras. Keadaan ini juga boleh menyebabkan hidung berdarah

3. Jangkitan sinus, alahan atau selesema

Hidung yang tersumbat teruk juga boleh menyebabkan pendarahan. Kanak-kanak yang cuba menghembus hingus dengan kuat juga boleh menyebabkan pendarahan.

4. Keadaan udara sekeliling yang kering

Udara persekitaran yang kering boleh mengeringkan keadaan dalam hidung dan menyebabkan pendarahan terjadi, terutamanya dalam keadaan yang panas. 

5. Jangkitan bakteria atau impetigo

Kulit dalam hidung sangat mudah dijangkiti bakteria yang menyebabkan kulit menjadi merah dan merebak ke bahagian depan hidung.

6. Benda asing dalam hidung

Kanak-kanak kecil juga boleh memasukkan makanan atau alat mainan ke dalam hidung mereka, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Sekiranya perdarahan hanya berlaku di sebelah hidung sahaja, dan terdapat hingus yang berbau busuk, ada kemungkinan terdapat bendasing, seperti makanan atau alat mainan, di dalam hidung. Jika perdarahan berterusan, kanak-kanak perlulah diperiksa oleh doktor, yang boleh mengesan dan mengeluarkan bendasing tersebut.

6. Masalah pembekuan darah

Keadaan ini sangat jarang terjadi. Walau bagaimanapun, sekiranya anda dapati hidung anak anda sering berdarah dan terdapat tanda-tanda lain yang menunjukkan beliau mungkin menghadapi masalah pembekuan darah, ujian darah perlu dilakukan bagi mendapatkan kepastian. 

Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, punca utama tidak dapat dikenalpasti.

Bagaimana merawat hidung berdarah?


1) Dengan perlahan-perlahan dan lemah lembut, tekan kawasan bawah hidung yang lembut menggunakan ibu jari dan jari telunjuk sehingga lubang hidung tertutup, dengan kain kapas yang lembap.
2) Minta anak membuka mulut dan bernafas melalui mulut. Dudukkan kanak-kanak di dalam keadaan menegak dan tunduk ke depan secara membongkok.
3) Sekiranya ada ais, boleh letakkan plastik/kain yang mengandungi ais di kawasan pngkal hidung.
4) Kekalkan keadaan ini selama 10 minit.
5) Periksa sama ada pendarahan masih berlaku selepas 10 minit.
6) Jika pendarahan masih belum berhenti, teruskan memicit bahagian bawah hidung selama 10 minit lagi.
7) Jika selepas 20 minit pendarahan masih belum berhenti, bawalah anak anda berjumpa doktor untuk diperiksa. Doktor mungkin akan memasukkan pita atau bahan khas (nasal pack) ke dalam hidung untuk menghentikan perdarahan. Sekiranya perdarahan masih berterusan, kanak-kanak mungkin perlu masuk hospital untuk rawatan lanjut.
8) Anda juga boleh menekan kawasan pangkal hidung (bridge of the nose) bagi menghalang darah dari mengalir ke dalam hidung.
9) Jika pendarahan telah, berhenti, nasihatkan kanak-kanak tersebut supaya terus duduk dan jangan menyapu atau bernafas melalui hidung

Bagaimana cara merawat hidung yang kerap berdarah?

Seelok-eloknya anda berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan dengan teliti. Setelah itu, anda boleh mencuba kaedah bagi memastikan kawasan kulit dalam hidung sentiasa lembap. Boleh gunakan cara-cara ini - 
1) spray hidung yang dibuat dari air garam (saline) - semburkan sebanyak 2-3 kali sehari;
2) vaseline - sapukan sedikit vaseline dalam kawasan hidung 2 kali sehari. Walau bagaimanapun, penggunaan oitment seperti tidak begitu digalakkan kerana ditakuti boleh menyebabkan luka sewaktu menyapu ubat ini;
3) sekiranya anda mampu, adalah lebih baik untuk memasang vaporizer dalam bilik tidur bagi memastikan udara persekitaran lembap;
4) pakar ENT boleh menjalankan prosedur cauterization sekiranya pendarahan hidung tetap kerap berlaku;
5) ingatkan anak anda supaya jangan kerap mengorek hidung atau menghembus hidung dengan kuat;
6) pastikan kuku sentiasa pendek bagi mengelakkan kecederaan jika beliau menyentuh kawasan dalam hidung.

Bilakah saya patut membawa anak saya untuk diperiksa oleh doktor?

Terdapat beberapa keadaan di mana anak anda mesti diperiksa di hospital ;

1) Kerap mengalami perdarahan hidung. Doktor perlu memeriksa anak, untuk memastikan tiada  masalah berbahaya, seperti ketumbuhan dalam hidung. Namun demikian, kanser hidung SANGAT JARANG ditemui di kalangan kanak-kanak. Ketumbuhan yang tidak berbahaya seperti polyp juga boleh menyebabkan berlaku pendarahan dan polyp boleh dirawat dengan mudah.

2) Jika pendarahan hidung masih belum berhenti selepas mencuba cara di atas selama 20 minit.

2) Pendarahan hidung beserta pendarahan di tempat lain seperti gusi berdarah, kencing berdarah atau lebam-lebam di seluruh badan.

3) Jika anda merasakan bahawa anak anda telah memasukkan sesuatu ke dalam hidung, bawalah anak anda untuk diperiksa dengan segera. Benda asing dalam hidung boleh menyebabkan hidung berdarah, jangkitan kuman, masalah pernafasan dan nafas berbau.

-----

Boleh dapatkan maklumat lanjut di sini , di sini dan di sini.

2 ulasan :

  1. Tanpa NamaMac 03, 2016

    Ank sy kerap hidung bdarah lbh2 lg cuaca panas.prnh sekali dia mnth sbb dh rs drh dalm rengkong dan mntah keluar darah beku.sy risau...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sekiranya anak puan kerap mengalami hidung berdarah, seelok-eloknya bawa berjumpa dengan pakar ENT untuk melihat sama ada masalah lain yang berkaitan. Sementara itu, boleh ajarkan beliau cara-cara hentikan pendarahan sekiranya terjadi pendarahan, terutamanya ketika musim panas ....

      Padam

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.