Pernahkah tuan puan tiba-tiba terdengar bunyi berdesing di telinga, tanpa apa-apa punca di persekitaran kita? Atau pun kadang kala, ibu bapa kita mengadu “ Lan, telinga mak sebelah kanan ni, ada dengar bunyi lah , macam ada meletup-letup kat dalam telinga ni…”
Struktur telinga
Untuk memahami kejadian ini- mari kita lihat struktur telinga….
Bahagian luar telinga bermula dari cuping telinga sehingga gegendang telinga.
Bahagian tengah telinga bermula dari gegendang telinga sehingga tulang-tulang kecil.
Bahagian dalam telinga terdiri daripada saraf-saraf , tiub Eustachio dan koklea.
Apakah kejadian ini?
Kejadian ini kita panggil TINNITUS (mendengar bunyi di dalam telinga yang tidak disebabkan oleh punca luaran).
Kebanyakan orang mengalami masalah ini yang tidak mengganggu kehidupan harian mereka. Ianya boleh terjadi pada semua peringkat umur. Kebanyakan kita mengalami tinnitus setelah terdedah pada bunyi yang kuat (seperti muzik yang kuat di disko dan sebagainya) dan ianya akan hilang sendiri dalam tempoh masa yang singkat.
Tetapi seramai 1 dalam 100 orang akan mengalami masalah tinnitus yang agak teruk sehingga menghalang mereka menjalankan kegiatan harian.
Apakah bentuk bunyi yang boleh didengar?
Bunyi berdering / berdehis (macam ular) atau “buzzing” boleh berpunca dari dalam telinga (inner ear) atau masalah dengan saraf di otak.
Bunyi meletup, klik atau mengetuk boleh berpunca dari saluran telinga atau masalah di bahagian tengah telinga (middle ear).
Bunyi berdenyut (pulsatile) boleh berpunca dari rasa anzieti (cemas/panik) atau sebarang radang dalam telinga. Ianya juga boleh berpunca dari masalah dengan salur darah, contohnya ketumbuhan (glomus / carotid body) , penyempitan pada salur darah carotid, salur darah yang bengkak dalam kepala (intracranial aneurysms) atau kecacatan pada salur arteri-vena (arteriovenous malformations).
Sekiranya mendengar suara-suara, perlulah dirujuk kepada pakar psikiatri untuk pemeriksaan lanjut.
Selalunya bunyi ini lebih kuat didengar ketika keadaan keliling sunyi sepi, seperti ketika tuan puan ingin tidur. Kadang kala ianya lebih kuat ketika tuan puan berada dalam keadaan letih.
Saya mendengar bunyi di kedua-dua telinga. Adakah ini bahaya?
Tinnitus di kedua-dua telinga biasanya tidak bahaya. Tinnitus di sebelah telinga perlu diperiksa bagi memastikan ianya bukan ketumbuhan pada saraf yang dipanggil acoustic neuroma.
Apakah punca-punca kejadian ini?
Tinnitus boleh berpunca dari apa-apa masalah telinga contohnya pendedahan kepada bunyi untuk jangkamasa yang lama, kecederaan kepala atau pembedahan pada telinga.
Ia juga boleh disebabkan oleh demam panas, darah tinggi, lemah jantung, kurang darah merah (anaemia) , terlebih hormon thyroid (thyrotoxicosis), mengandung, ketagihan alkohol dan masalah saraf (neuropathy).
Kadang kala ia juga boleh berpunca daripada ubatan seperti salicylate, aminoglycosides, ubat darah tinggi seperti loop diuretics dan beta blockers.
Bilakah saya harus berjumpa pakar ENT?
Sekiranya salah satu daripada perkara berikut terjadi, tuan harus diperiksa oleh pakar ENT -
- mengalami kurang pendengaran atau pekak
- mendengar bunyi berdenyut yang tidak disebabkan oleh radang dalam telinga
- tinnitus di satu belah telinga berpanjangan melebihi 3 bulan
- tinnitus yang berpanjangan mengganggu kehidupan harian
Sekiranya saya berjumpa doktor, apakah yang akan dilakukan?
Pemeriksaan fizikal
Doktor akan memeriksa telinga menggunakan otoscope bagi memastikan tiada tahi telinga , benda asing atau jangkitan kuman. Doktor akan menguji sama ada terdapat kurang pendengaran. Pemeriksaan saraf kranial juga perlu dilakukan.
Ujian darah
Sekiranya perlu, ujian darah bagi memeriksa gula, tahap thyroid dalam darah juga akan dilakukan.
Pengimejan
Pakar ENT mungkin akan menjalankan ujian lanjut seperti MRI, CT scan atau angiogram bagi menentukan tiada masalah dengan salur darah.
Apakah rawatan terbaik untuk masalah ini?
Ubatan
Antidepressant boleh mengurangkan kemurungan tetapi tidak menghilangkan tinnitus. rawatan menggunakan ubat sawan, vasodilator, hipnosis, ubat herba dan akupuntur belum terbukti berkesan. hanya terdapat beberapa punca tinnitus yang boleh dirawat dnegan cara pembedahan.
Rawatan tanpa ubat
Mereka yang mengalami tinnitus boleh mengurangkan kejadian ini dengan mengurangkan tekanan mental, bersenam dengan kerap, mencuba teknik berehat (relaxation techniques), mengurangkan rokok dan mengamalkan diet yang sihat. Mereka juga dinasihatkan agar memasang bunyi latarbelakang ( seperti kipas/ tingkap yang terbuka/ bunyi statik radio) bagi mengurangkan keheningan suasana, terutamanya sebelum tidur.
----
Rujukan / Bacaan lanjut:
1. S Alam Hannan et al. Tinnitus. BMJ 2005; 330:237.
2. Wareing MJ. Clinical review: tinnitus. GP Magazine 2 Feb 2004: 41-2.
3. Lockwood AH, Salvi RJ, Burkhard RF. Current concepts: tinnitus. N Eng J Med 2001;347:904-10.
BalasPadamInfo yang menarik mengenai punca telinga berdesing. Bagi tinnitus yang berlaku secara kronik, pesakit elok juga mendapatkan nasihat daripada doktor pakar untuk menyaring kemungkinan berlakunya masalah telinga atau sistem saraf pusat yang serius.