Cara-cara Mengurangkan Sakit Lutut Dalam Aktiviti Seharian

Isnin, 4 November 2024

Sakit lutut merupakan salah satu masalah kesihatan yang kerap dialami oleh semua, baik yang muda atau pun tua. Ini kerana lutut merupakan salah satu sendi yang digunakan hampir sepanjang hari untuk kita melakukan pelbagai aktiviti. Kita berjalan, berlari, menaiki tangga, serta tunduk mengangkat barang—semuanya melibatkan pergerakan sendi lutut. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya setiap seorang daripada kita akan mengalami sakit lutut sekurang-kurangnya sekali dalam hidup kita.

Sakit lutut sememangnya boleh mengganggu kelancaran urusan kita sehari-hari

Apakah yang Ada dalam Sendi Lutut?

Dalam sendi lutut yang kecil itu, terkandung pelbagai jenis bahan yang rencam sifatnya dengan susun atur yang agak kompleks. Terdapat dua tulang yang keras—iaitu tulang femur di atas, dan tulang tibia serta fibula di bahagian bawah. Di celah-celah tulang ini, terdapat tulang rawan yang kita panggil cartilage. Tuhan juga menganugerahkan kita meniscus, iaitu tulang rawan yang berbentuk seperti pemegang baldi untuk menyerap hentakan dan tekanan yang lutut hadapi setiap hari. Selain itu, terdapat lendir di sekeliling struktur ini bagi memastikan lutut kita dapat bergerak dengan lancar. Ligamen juga banyak terdapat dalam lutut.

Seperti organ badan yang lain, terdapat saluran darah dan saraf di sekitar sendi tersebut. Lutut kemudiannya diselaputi oleh lapisan kulit sebagai lapisan perlindungan di luar.


Punca-Punca Sakit Lutut

Punca sakit lutut boleh dibahagikan mengikut usia. Punca sakit lutut biasanya berbeza, namun terdapat beberapa punca yang boleh dialami oleh tua dan muda.

Pesakit Muda

1. Sakit Lutut Akut (Mengejut)

Kecederaan Semasa Bersukan: Kebanyakan sakit lutut yang dialami secara mengejut atau tiba-tiba adalah semasa bersukan. Ini berlaku apabila lutut berpusing melebihi kapasitinya dan selalunya menyebabkan meniscus tercedera—sama ada putus setengah atau putus keseluruhannya.

Jangkitan Kuman: Sekiranya sakit lutut disertai demam dan terdapat suntikan ke dalam lutut sebelum itu (contohnya steroid, stem cell, hyaluronic acid dan lain-lain), kemungkinan jangkitan kuman telah masuk ke sendi lutut semasa suntikan tersebut dijalankan.

Pesakit Tua

1.Sakit Lutut Akut (Mengejut)

Serangan Gout: Serangan gout boleh menyebabkan kesakitan yang teramat sangat di lutut kerana pembentukan kristal asid urik yang menyerang sendi.

Kecederaan Semasa Pergerakan atau Trauma: Kecederaan ringan akibat pergerakan yang tidak disengajakan atau jatuh secara tidak sengaja juga sering terjadi dalam kalangan warga emas.


2.Sakit Lutut Kronik (Perlahan dan Lama)

Osteoarthritis: Osteoarthritis atau keradangan sendi kronik adalah salah satu punca utama sakit lutut dalam kalangan pesakit tua. Ini berlaku apabila tulang rawan di lutut semakin haus akibat penggunaan yang berpanjangan, menyebabkan geseran antara tulang. Selain daripada umur, wanita berisiko mengalami osteoarthritis w kali ganda daripada lelaki. Ini kerana bentuk pelvik wanita berbeza daripada lelaki menjadikan tekanan kepada sendi lutut lebih daripada golongan lelaki.

Kecederaan Lama: Kecederaan lama yang pernah dialami mungkin tidak sembuh sepenuhnya dan boleh menyebabkan kesakitan yang berterusan, terutama jika sendi lutut sering digunakan.


Cara Mengurangkan Sakit Lutut

Bagi yang mengalami sakit lutut, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan ketidakselesaan dan memelihara kesihatan sendi lutut.

1. Rehat dan Hindari Aktiviti yang Membebankan Lutut

Elakkan aktiviti yang melibatkan tekanan berlebihan pada lutut seperti membongkok atau angkat berat. Kebanyakan dari kita suka berlari/ jogging, mungkin kita perlu memilih sukan lain yang lebih mesra kepada lutut, contohnya berbasikal, berenang atau berjalan. Aktiviti ringan seperti tai-chi juga dapat membantu menguatkan otot kaki selain daripada mengurangkan tekanan kepada lutut.

2. Terapi Ais atau Haba sebagai rawatan akut

Letakkan ais pada lutut yang sakit selama 15-20 minit dapat membantu mengurangkan bengkak dan radang sebaik saja sakit lutut bermula. Sebaliknya, terapi haba boleh membantu mengurangkan kekejangan pada otot lutut.

3. Senaman Lutut dan Fisioterapi bagi Menguatkan Otot

Kaedah ini merupakan kaedah rawatan yang paling penting dan mereka yang mengalami sakit lutut perlu sentiasa konsisten dengan senaman lutut. Banyak video di youtube pada masa kini yang mengajar kita bagaimana untuk menguatkan otot-otot dan sendi lutut. Senaman regangan yang ringan dapat membantu melancarkan pergerakan lutut. Selain itu, penguatan otot paha dan betis juga penting untuk menyokong lutut dan mengurangkan beban ke atasnya.

4. Mengurangkan Berat Badan

Berat badan yang berlebihan boleh memberikan tekanan tambahan pada lutut. Dengan mengurangkan berat badan, tekanan pada lutut juga akan berkurangan dan ini membantu mengurangkan kesakitan. BMI yang ideal adalah antara 20-25.Boleh baca post ini mengenai cara mengurangkan berat badan.

5. Menggunakan Alat Bantuan

Bagi pesakit yang mengalami sakit lutut kronik, penggunaan alat bantuan seperti tongkat atau knee brace boleh memberikan sokongan tambahan dan mengurangkan tekanan pada lutut.

6. Pengambilan Suplemen Sendi

Suplemen yang mengandungi glucosamine dan chondroitin sering disarankan untuk membantu memelihara kesihatan sendi dan mengurangkan kerosakan pada tulang rawan. Supplemen lain yang didapati berkesan juga adalah seperti Omega 3 yang mudah didapati di pasaran.

7. Mengamalkan Diet Anti-Radang

Ada banyak makanan seperti ikan berlemak, sayuran hijau, dan buah beri mengandungi antioksidan yang boleh membantu mengurangkan keradangan. Makanan ini boleh dimasukkan dalam diet harian untuk membantu kesihatan lutut.


Kesimpulan

Sakit lutut boleh mengganggu aktiviti harian dan menjejaskan kualiti hidup seseorang. Oleh itu, menjaga kesihatan sendi lutut adalah penting bagi memastikan kehidupan yang aktif dan bebas daripada kesakitan. Mengamalkan gaya hidup yang sihat, menghindari tekanan berlebihan pada lutut, serta mendapatkan rawatan yang tepat apabila mengalami sakit lutut boleh membantu mengurangkan risiko kerosakan sendi di masa hadapan.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.