10 petua mengurangkan batuk di kalangan kanak-kanak

Jumaat, 3 Oktober 2014

" Doktor, anak saya dah batuk selama 3 hari. Batuknya makin teruk sewaktu malam. Apa saya boleh buat?"


Batuk merupakan salah satu masalah kesihatan yang sering ditemui, terutama di kalangan kanak-kanak. Kebiasaannya, batuk adalah satu perkara yang tidak serius. Malah, batuk sebenarnya merupakan satu tindakbalas refleks yang sihat dan penting bagi melindungi saluran pernafasan di kawasan tekak dan dada.


"Kenapa anak saya batuk?"


Batuk selalunya disebabkan oleh jangkitan virus.Terdapat banyak virus yang boleh menyebabkan batuk: coronavirus, adenovirus, rhinovirus dan lain-lain. Selalunya ia bersekali dengan selesema dan demam, sakit kepala, sakit badan, dan kadangkala beserta sakit perut dan rasa loya dan muntah. Batuk ini mudah berjangkit dan biasanya lebih senang didapati jika anak-anak tinggal di taska atau pusat asuhan kanak- kanak dan mendapatnya daripada kanak-kanak yang lain. Batuk kerana jangkitan virus boleh menyebabkan batuk sehingga 2 minggu lamanya dan biasanya tidak memerlukan antibiotik.

Punca batuk ialah :

1. Jangkitan virus / bakteria pada tekak
2. Jangkitan virus/ bakteria pada paru-paru - pneumonia, bronchiolitis, batuk kering (TB)
3. Alahan
4. Asthma
5. Refluks

Tetapi ibubapa mestilah mengetahui tanda-tanda bahaya dan bila anak perlu dibawa berjumpa doktor/ ke hospital.

Kenapa batuk semakin teruk di waktu malam?


Kebanyakan batuk menjadi lebih teruk pada waktu malam, kerana cairan dari hidung dan sinus ( sinus ialah rongga-rongga pada tengkorak manusia di kawasan pipi,dahi dan sekitar hidung ) turun ke tekak pada waktu malam. Cairan ini menyebabkan rasa tidak selesa pada tekak dan menyebabkan batuk.

Batuk di waktu malam tidak perlu dibimbangkan kecuali apabila menyebabkan anak tidak boleh tidur malam.

Asthma juga boleh menyebabkan batuk pada waktu malam, kerana saluran pernafasan adalah lebih sensitif pada waktu malam.

"Anak saya pula kerap batuk di waktu siang"


Banyak perkara yang boleh menyebabkan batuk di waktu siang seperti habuk, haiwan peliharaan (kucing, arnab dan lain-lain) , asap rokok dan sebagainya. Cubalah kurangkan pendedahan kepada perkara-perkara ini. Di samping itu, kurangkan aktiviti lasak anak untuk sementara bagi mengurangkan batuk.

"Anak saya selalu muntah selepas dia batuk."


Apabila kanak-kanak batuk dengan kuat, kadangkala ia menyebabkan refleks muntah. Oleh itu, selepas batuk, anak mungkin muntah. Bagi kanak- kanak kecil yang belum pandai mengeluarkan kahak, muntah ialah satu cara bagi mereka mengeluarkan kahak yang masuk ke dalam perut.

Ini juga tidak merbahaya, kecuali muntah tersebut berterusan dan kuantiti muntah banyak.

"Anak saya suka menelan semula kahaknya, adakah ini bahaya?"

Kahak yang ditelan tidak menyebabkan apa-apa bahaya.Ini kerana asid di dalam perut yang memusnahkan semua kuman di dalam kahak. Kuman tersebut tidak akan memasuki saluran darah atau membahayakan diri anak tersebut.

Bilakah saya perlu membawa anak berjumpa doktor?


Kenali tanda-tanda bahaya apabila batuk , bawalah anak berjumpa doktor jika:

1. Anak berusia 3 bulan ke bawah dan mengalami batuk
2. Anak berusia 3 bulan ke bawah dan mengalami demam
3. Anak bernafas dengan laju
- lihat dada, jika otot-otot pernafasan di dada tenggelam, ini bermakna beliau bernafas dengan susah ;
- lihat kadar pernafasan : kira pergerakan turun naik dada dalam satu minit.
Bayi kurang 2 bulan - 60 atau lebih
1 tahun ke 2 tahun- 50 atau lebih
2 tahun ke 5 tahun- 40 atau lebih

4. Mengalami demam tinggi dan batuk ( terutamanya kalau tiada hingus)

5. Jika anak kekurangan air atau mengalami dehidrasi, boleh rujuk entri ini untuk memastikan tanda dehidrasi

6. Batuk berdarah

7. Mengeluarkan bunyi " whoop" selepas batuk

8. Mengalami kebiruan pada keliling bibir/ tangan apabila batuk

9. Mengeluarkan bunyi seperti anjing menyalak ( barky cough )

10. Mengeluarkan bunyi seperti berdengkik ( wheezing) atau bernafas kasar ( stridor).

11. Batuk lebih dari 3 minggu

"Bolehkah saya memberikan ubat batuk kepada anak saya?"

penggunaan ubat batuk tidak digalakkan

Secara amnya, pemberian ubat batuk untuk kanak- kanak ( seperti Diphenhydramine Benadryl ) berumur bawah 6 tahun tidak digalakkan.Ini kerana kebanyakan ubat batuk mempunyai bahan yang boleh memperlahankan pernafasan. Jika melebihi dos yang ditetapkan, anak-anak boleh berhenti bernafas. Ubat penahan batuk seperti dextrometophan pula mempunyai kesan sampingan seperti menyebabkan anak tidak dapat tidur.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberhentikan pembelian dan pemberian ubat batuk dan selesema di hospital dan klinik kerajaan bagi kanak- kanak berumur 2 tahun ke bawah kerana bimbangkan kesan sampingan di atas. Ubatan yang terdapat di fasiliti kerajaan untuk kanak-kanak bawah 2 tahun ialah saline nose drop ( ubat titis hidung bagi mengeringkan hingus) dan sirap linctus simplex ( bagi mencairkan kahak).

Ubat mencair kahak seperti bisolvon ( bromhexine) pula boleh menimbulkan rasa tidak selesa pada perut bayi.

Ubatan seperti salbutamol ( untuk melapangkan salur pernafasan) secara amnya adalah selamat, namun kesan sampingan ringan ialah seperti degupan jantung yang laju dan tangan menggigil sedikit yang akan hilang beransur- ansur.


"Adakah apa-apa cara saya boleh melegakan batuk untuk anak saya?"


petua melegakan batuk di kalangan kanak- kanak


1. Berikan minum banyak air masak

Air suam dapat melegakan tekak yang kering. Di samping melegakan demam jika ada, air yang banyak juga boleh mencairkan kahak dan memudahkan kahak dikeluarkan.

2. Tinggikan sedikit bantal ketika tidur / siang bagi memudahkan pernafasan.


3. Teknik air wap

Jika tuan puan mempunyai air panas, tuan puan boleh membuka shower air panas dibilik mandi dan tutup pintunya agar bilik air menjadi berwap. Kemudian duduklah bersama anak puan selama 20 minit di dalam bilik air berwap itu. Wap panas tersebut akan memudahkan pernafasan anak.

4. Fisioterapi

Salah satu tip yang diberikan oleh Puan Siti Farah Aini Jamaludin, Pakar Fisioterapi dari Pusat Perubatan Alpha ialah ibubapa boleh melakukan fisioterapi ( tepukan pada dada) bagi melonggarkan kahak dan memudahkan pernafasan anak.

"Sebagai contoh, jika bayi mengalami hidung tersumbat dan batuk berkahak dan di rumah memang tidak mempunyai mesin sedut hingus, ibu bapa boleh mencuba teknik tepukan yang dinamakan percussion ke atas bayi mereka.

"Caranya mudah, pastikan bayi dalam posisi meniarap dan letakkan bantal di bawah perut, pastikan bantal itu tidak terlalu tebal. Kemudian condongkan sedikit posisi bantal dengan kedudukan kepala bayi ke bawah dan kaki di atas, pastikan kaki lurus.

"Ibu atau bapa pula bentukkan tapak tangan seakan cupping (lubang di tengah) dan gunakan kekuatan dari pergelangan tangan untuk menepuk perlahan di belakang bayi.

"Tepuk selama lebih kurang 15 minit dan beralih di kiri dan kanan tubuh bayi pula. Tujuan menepuk ini adalah untuk melonggarkan kahak di dalam paru-paru dan 15 minit selepas selesai menepuk, biasanya bayi akan batuk atau bersin dan sekali gus mengeluarkan kahak dalam bentuk muntah. Jika tertelan, tidak mengapa kerana kahak tersebut akan keluar menerusi najis mereka," jelas Siti Farah.

Siti Farah mengingatkan ibu bapa, sebelum memulakan teknik tepukan percussion ini, pastikan anak tidak minum susu sejam atau setengah jam sebelum bagi mengelakkan muntah.

5. Elakkan minuman sejuk

Minuman sejuk/ berais yang boleh menyebabkan bronchospasm ( salur pernafasan mengecut )

6.Elakkan juga makanan berminyak.

Bagi sesetengah orang, makanan yang berminyak boleh menyebabkan batuk menjadi teruk. Begitu juga dengan makanan ringan seperti kerepek kentang/ junk food.

7. Tingkatkan pemberian susu badan

Bagi bayi yang menyusu badan, ibu digalakkan bagi menambah kekerapan susu badan. Susu badan mengandungi antibodi dan air yang diperlukan oleh bayi, terutama ketika sakit.

8. Madu

Beberapa kajian saintifik menunjukkan sesudu madu (10 g) pada waktu malam dapat mengurangkan batuk di waktu malam dan memudahkan anak-anak tidur. Ibu bapa boleh memberikan madu yang lembut pada anak berusia 2 tahun ke atas. Bagi bayi kurang setahun, pemberian madu dikhuatiri boleh menimbulkan alahan, oleh itu di nasihatkan berhati- hati jika ibubapa memberi madu pada bayi kecil.

9. Buang hingus dalam hidung

Untuk bayi kecil, boleh gunakan penyedut yang ada dijual di farmasi untuk menyedut hingus dalam hidung. Jika anak- anak telah sedikit besar , galakkan mereka menggunakan tisu untuk membuang hingus dan terus dibuang. Gunakan tisu untuk menutup mulut ketika batuk bagi mengelakkan orang lain terjangkit juga.

10. Basuh tangan dan gunakan tisu

Basuh tangan menggunakan sabun dengan kerap, baik ibubapa atau tangan anak- anak bagi mengurangkan jangkitan kepada orang lain. Gunakan tisu apabila batuk dan terus buang ke dalam tong sampah untuk mengurangkan risiko orang lain juga mendapat batuk.


-----
Rujukan:
1. Paediatrics Protocols For Malaysian Hospital , 3rd Edition,2012.

2. http://m.kidshealth.org/parent/general/eyes/childs_cough.html

3. Paul IM et al. Efftects of honey, dextromethorphan, and no treatment on nocturnal cough and sleep quality for coughing children and their parents.Arch Pediatr Adolesc Med. 2007 Dec;161(12):1140-6.

4.paul IM et al. Effect of dextromethorphan, diphenhydramine, and placebo on nocturnal cough and sleep quality for coughing children and their parents.Pediatrics. 2004 Jul;114(1):e85-90

5. Cohen HA et al. Effect of honey on nocturnal cough and sleep quality: a double-blind, randomized, placebo-controlled study.
Pediatrics. 2012 Sep;130(3):465-71. doi: 10.1542/peds.2011-3075. Epub 2012 Aug 6.


Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.