10 cara atasi muntah dan loya semasa mengandung

Sabtu, 15 Februari 2014


Loya dan muntah-muntah semasa mengandung merupakan perkara yang biasa terjadi bagi wanita yang mengandung. Kebiasaannya ianya bermula sebelum usia kandungan 6-9 minggu dan selalunya hilang perlahan- lahan pada usia kandungan mencecah 3 bulan.

Kenapa rasa loya dan muntah terjadi?

Dipercayai rasa loya dan muntah ini berpunca daripada perubahan hormon semasa awal mengandung (12 minggu pertama).

Hormon BHCG yang dirembeskan oleh uri menyebabkan rasa mual dan loya. Dalam kes seperti mengandung anak kembar misalnya, uri lebih besar/ lebih dari satu, oleh itu hormon yang dibebaskan lebih banyak. Justeru itu, rasa loya juga lebih kuat.

Hormon estrogen juga bertambah semasa mengandung dan paling tinggi kadarnya semasa usia kandungan 12 minggu. Hormon ini menyebabkan deria bau menjadi lebih sensitif- mengakibatkan sesetengah ibu mengandung tidak tahan dengan bau masakan, pewangi dan sebagainya.

Bagaimana mengurangkan rasa loya dan muntah semasa mengandung?


1. Dapatkan rehat yang cukup kerana jika puan letih, rasa loya akan menjadi lebih teruk

2. Pilihlah makanan seperti biskut "cream cracker"dan roti bakar pada awal pagi selepas bangun tidur untuk mengurangkan loya sebaik saja bangun pagi.
Makan roti bakar , bersama atau tanpa jem/ mentega kacang atau sapuan lain

3. Minum banyak air, dalam kuantiti sedikit-sedikit. Jangan minum dengan banyak pada satu masa kerana boleh menyebabkan mual dan muntah.

 4. Makanlah sedikit- sedikit tetapi kerap, seperti 2-3 jam sekali. Makanlah makanannya yang tinggi karbohidrat tetapi rendah lemak (seperti nasi putih, roti , pasta) dan elakkan terlalu pedas atau berminyak.

5. Makanan yang suam/ sejuk lebih digemari wanita yang loya kerana kurang mengeluarkan bau- bauan.

6.Berhati- hati semasa menggosok gigi atau berkumur-kumur supaya tidak menyebabkan muntah.

7. Elakkan pakaian yang ketat di bahagian pinggang supaya lebih selesa.

8. Jika loya dan muntah menjadi lebih teruk selepas makan supplemen zat besi ( Ferrous fumarate) , boleh bertukar ke persediaan zat besi yang lain seperti Obimin/ Pramilet/ Zincofer/ Iberet.


9. Kenalpasti makanan / minuman yang menyebabkan puan loya dan elakkan.

10. Sesetengah wanita juga mengalami masalah refluks. Refluks boleh menambah rasa loya dan muntah. Oleh itu, tambahkan satu bantal lagi semasa tidur, elakkan kafein seperti kopi/ Nescafe dan kurangkan aktiviti membongkokkan badan.
kurangkan pengambilan kopi

Adakah ubat-ubatan yang boleh saya ambil bagi mengurangkan rasa loya / muntah?

Ya, ada. Jika terasa loya dan muntah puan agak teruk, puan boleh mengambil ubat penahan muntah Metoclopramide ( Maxolon). Ubat ini boleh menyebabkan otot mengerdip ( twitch) tetapi kesan sampingan ini sangat jarang terjadi.

Bila saya perlu ke hospital?

Puan perlu diperiksa di hospital jika :

- muntah berulang-kali dan tidak dapat makan/ minum langsung dalam tempoh 24 jam
- air kencing sangat sedikit
- pening dan lemah teruk sehingga tidak dapat berdiri dengan baik
- mengalami sakit perut
- mengalami demam 38 darjah celcius
- mempunyai darah dalam muntah
- merasa sakit ketika buang air kecil/ ada darah dalam air kencing

Doktor akan melakukan ujian air kencing dan jika puan telah kehilangan air yang banyak, air tambahan mestilah diberi melalui saluran darah.
-----
Rujukan:
1.http://www.nhs.uk/conditions/pregnancy-and-baby/pages/morning-sickness-nausea.aspx#close



2 ulasan :

  1. Terima kasih di atas perkongsian ilmu. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama-sama Diana, terima kasih kerana sudi singgah :)

      Padam

Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.