Salam semua, entri saya hari ini adalah mengenai tanam sayur hidroponik di apartmen. saya pasti ramai ibu-ibu (dan ayah-ayah mungkin!) yang setuju dengan saya apabila saya katakana harga sayur-sayur pada ketika ini sudah naik melambung! Dahulu, saya boleh beli sayur pak choy seplastik dengan harga RM2 sekarang harganya hampir RM4. Paling mahal adalah salad sampur. Dulu harganya dalan RM5-6 saja , dalam setahun dua tahun harganya dah naik sehingga RM10.
Pokok kangkung hidroponik |
Mengapa tanam sayur hidroponik?
1.Bekalan sayur yang segar
Sebab utama saya mula berjinak-jinak dengan sayur hidroponik ialah kerana saya inginkan sayur yang segar. Bila kita beli di pasar, kemudian simpan dalam peti ais, sayur cepat layu dan rosak, walaupun disimpan dengan pelbagai cara (balut kertas bagai semua). Saya suka jika saya boleh petik, terus masak dan makan.
2.Harga sayur yang meningkat.
Tentunya tuan puan berkata, nak tanam sayur pun ada kos juga. Itu juga betul. Tapi set asas ni kita beli sekali saja. Selepas tu hanya kos biji benih yang sangat murah (RM1-2) sepaket dengan beratus-ratus benih dan kos baja. Purata baja AB berharga RM10 bagi 1 L (satu set), tapi boleh digunakan sehingga setahun juga (dengan kaedah tukar air seminggu sekali/ 2 kali). Saya masih merasakan ianya menjimatkan kerana satu kali penanaman boleh dituai 2-3 kali.
3.Mudah.
Kaedah hidroponik berasal dari Kaedah Kratky yang bersifat semai-dan-tinggal. Kaedah ini sangat mudah dan tidak perlukan pam/ ikan/ oksigen. Bagi saya yang mempunyai tugasan yang agak sibuk, kaedah ini sangat sesuai. Penanaman hidroponik tidak memerlukan kita menggunakan baja tinja haiwan atau epsom salt atau bahan-bahan pertanian lain.
4.Kepuasan hati.
Apabila sayur berkembang biak dengan cantik, ia memberi kepuasan kepada penanam dan rasa syukur kepada Tuhan yang memberikan rezeki yang mudah kepada kita.
Bagaimana mula tanam sayur hidroponik?
Saya mula menanam sayur hidroponik pada tahun lepas. Saya beli set hydroponik yang murah dan simple dari Shopee dari kedai fuzzlytech di sini. Masa tu harganya dalam RM18, namun kita juga boleh dapati dengan harga yang lebih rendah sekarang, RM10-RM11 pun ada.
Set penanaman sayur hydroponik pertama saya
Saya bersyukur sebab set pertama saya sangat mudah. Masa tu saya belum belajar sangat mengenai germination, seedling , peranan lampu dan lain-lain. Saya memang ikut betul-betul arahan dalam manual yang mudah.
Set hidroponik asas pertama saya |
Langkah-langkah asas menyemai benih hidroponik
1.Basahkan rockwool.
Pastikan rockwool benar-benar basah (rendam dalam 10-15 minit pun boleh).
Rockwool adalah sejenis media penanaman yang baik kerana boleh menyerap air dengan baik. ia menjadikan benih tuan puan kekal basah dan lembap. Ia diperbuat dari batu bernama basalt yang dijumpai di kawasan gunung berapi dan dicampur dengan kapur yang dicairkan pada suhu tinggi. Suhu yang tinggi ini menjadikan media ini bebas dari kuman yang boleh membahayakan pokok nanti. Rockwool juga tidak mengganggu pH atau EC air, serta boleh dipindahkan terus ke dalam pasu jika mahu.
2.Letakkan biji benih dalam rockwool.
Hari pertama semaian |
3.Letakkan rockwool & biji dalam bekas
Tutup untuk mengelakkan cahaya matahari selama 2-4 hari.
4.Periksa anak pokok dalam 3-4 hari.
Pada hari ketiga atau keempat , biasanya anak pokok telah mulai tumbuh. Jika ada anak pokok yang belum tumbuh, boleh gantikan dengan benih lain. Kadangkala , ada anak pokok yang mengambil masa sedikit berbanding anak pokok lain untuk tumbuh.
5.Dedahkan pada cahaya matahari dan baja
Apabila ada daun pokok (true leaves) boleh dedahkan kepada Matahari. Kebiasaannya, daun awal yang tumbuh pada anak pokok bukan berupa seperti daun sebenar. Daun sebenar yang tumbuh selepas beberapa hari kita panggil daun sebenar (true leaves)
Pada fasa ini boleh letakkan sedikit baja AB atau apa-apa baja cecair yang bersesuaian pada nisbah 1/4 daripada kebiasaan. Ini kerana anak pokok ini masih kecil dan belum kuat lagi untuk menerima baja pada konsentrasi yang pekat
Hari ke-10: anak pokok telah mula tumbuh. Gambar agak gelap kerana saya pulang dari kerja lewat malam
6.Tukar air dan baja seminggu sekali
7.Tuai sayuran
Tuai sayuran apabila cukup masa. Jangan tunggu berbunga kerana sayur akan terasa pahit.
Sayur sawi yang saya tanam ini rasanya segar dan manis, berbanding yang dibeli di pasar. Saya tak pasti adakah perasaan sendiri saja, ataupun memang benar begitu. Selain sawi, saya juga pernah menanam kangkung.
Sayur kangkung ini saya telah tuai 3 kali dari pada satu kali penanaman. Maksudnya, apabila telah banyak daun, kita potong daun setakat yang kita ingin makan. Potong di atas batang yang ada ruas, supaya pokok boleh tumbuh lagi. Alhamdulillah, saya rasa kangkung saya pun lebih sedap daripada kangkung di kedai.
Jika ruangan di rumah tuan puan kecil saja, tidak menjadi masalah. Set hidroponik asas 8 pot ini pun mencukupi. Suami saya yang bantu menyediakan dawai supaya pokok kangkung boleh panjat tinggi dengan lebih kemas.
Pokok kangkung saya lebih cepat tumbuh dari sawi. Dalam 4- 6 minggu , ia boleh tumbuh semula dengan lebat selepas dipotong.
Kaedah semaian bagi mendapat hasil yang lebih baik
1.Semaian menggunakan seedling tray
Sebelum ini, saya hanya biarkan dalam bekas hidroponik yang diberi. Tetapi kini saya letakkan dalam bekas seedling. Bekas ini mempunyai penutup dan kelembapan pokok boleh dikawal.
2.Cahaya UV
Semasa proses germination ini, anak-anak pokok bagus diletakkan di bawah cahaya UV light di kawasan yang sedikit panas. Oleh itu, kini saya letakkan anak-pokok di bawah lampu UV light. Lampu ini saya beli di link ini. Boleh laraskan warna, tahap terang dan ada juga timer.
3.Heat pad atau dasar yang panas
Di negara Barat, mereka letakkan /heat pad/ di bawah /seedling tray/ supaya anak pokok cepat membesar. Tetapi saya letakkan di atas mesih basuh & dryer sahaja. Suhu yang sedikit panas akan mempercepat proses germination.
Melalui 3 teknik ini, anak pokok saya telah germinate dalam tempoh 12 jam sahaja daripada tempoh disemai.
Kesilapan yang selalu dibuat oleh penanam sayur hidroponik
1.Tidak menggunakan sarung tangan ketika memegang rockwool
Fiber dalam rockwool boleh menyebabkan iritasi kepada mata, kulit dan paru-paru. Oleh itu, jangan lupa pakai sarung tangan. Jika ada face shield/ goggle untuk melindungi mata serta face mask adalah lebih baik. Jangan hidu fiber / habuk dari rockwool !
2.Rockwool terlalu lembap
Walaupun kita inginkan rockwool yang lembap, tetapi bukan sehingga menjadikan anak pokok kita “lemas” di dalam air. Oleh itu, selepas merendam rockwool, angkat rockwool dan pastikan tiada air yang menitis, barulah diletakkan dalam bekas. Jangan picit rockwool macam span, kerana ia bukan span! (ko dah kenapa …). Jika rockwool dipicit, ia boleh lerai.
3.Cara pembuangan rockwool
Rockwool adalah bahan buatan manusia oleh itu ianya bukan organic. Jika dibuang di tempat pembuangan sampah, ia tidak akan terlerai. Oleh itu, jika anda perlu membuang rockwool, maka hancurkan sehingga menjadi kecil-kecil dan taburkan di laman. Ia akan membantu tanah menyerap air dengan lebih baik dan akan menggalakkan pertumbuhan pokok.
4.Tidak mengukur pH
Kita disarankan untuk mempunyai alat EC meter bagi mengukur pH dan kepekatan EC air. Bagi penanaman sayur salad contohnya, pH yang dicadangkan adalah antara 5.5 - 6.0 manakal EC yang yang sesuai adalah 1.2 mS/cm ketika semaian dan 1.5 mS/cm ketika pertumbuhan.
5.Kurang pencahayaan
Bagi kita rakyat marhaen yang tinggal di apartmen, ini adalah masalah yang paling utama. Pencahayaan matahari di balkoni selalunya kurang mencukupi untuk pokok-pokok berdaun. Jika ada merasakan pencahayaan di apartmen tidak mencukupi, tuan puan boleh membeli cahaya UV untuk membantu pokok-pokok mendapat lebih cahaya.
Selamat berhidroponik! Jika tuan puan ada tips mengenai tanaman hidroponik, jemputlah kongsi di sini supaya kita semua boleh dapat manfaat bersama :)
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Mohon tuan/puan bersopan santun ketika memberikan komen.